[VIDEO] Bukan kes ragut, mayat wanita dalam parit di Jalan SKN Lama mangsa nahas motor terbabas masuk parit


  • Tular
  • Isnin, 15 Jul 2024

Tangkap layar memaparkan keadaan wanita berkenaan ketika ditemui.

SEORANG wanita menemui ajal dalam keadaan tragis selepas mayatnya ditemui terperosok dalam parit dalam satu kejadian dipercayai di Pantai Remis, Lumut, Perak pada Isnin.

Difahamkan, mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Melalui maklumat awal daripada orang awam, wanita malang berkenaan dikatakan berjalan berseorangan sebelum dikatakan diragut hingga menyebabkan dia terjatuh masuk ke dalam parit.

BACA LAGI: [VIDEO] Perkelahan bertukar tragedi, 2 remaja lemas ketika bermandi-manda di Air Terjun Jami

BACA LAGI: Peragut bersiri Seremban target pejalan kaki dan penunggang motor akhirnya dicekup, ada 13 rekod jenayah

Melalui video yang dikongsikan, beberapa anggota polis dibantu orang awam mengangkat mayat mangsa ke atas jalan.

Turut tular satu gambar memaparkan mayat mangsa yang terjatuh di dalam sebuah parit.

Sementara itu, dalam satu kenyataan polis Manjung, mangsa dikatakan meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu merempuh tembok batu dalam kejadian di kampung nelayan, Jalan SKN Pekan Lama, Pantai Remis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden yang menimpa mangsa berusia 44 tahun itu sekitar pukul 10.15 pagi.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku sewaktu mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Vario dalam perjalanan dari arah tokong Sian Tian San menghala ke arah pelantar ke kawasan kampung nelayan tersebut.

“Motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan selepas tongkat motosikal bergesel dengan batu pengadang jalan sebelah kiri lalu terbabas dan merempuh tembok batu di kawasan berkenaan.

“Mangsa disahkan maut di lokasi dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Asyraf Henry Philip di talian 016-557 2540. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram