[VIDEO] Towing terbabas rempuh 6 kenderaan termasuk motosikal di Sepang, 2 maut


  • Tular
  • Rabu, 17 Jul 2024

Tangkap layar video memaparkan keadaan di lokasi kemalangan.

SATU kemalangan maut dilaporkan berlaku melibatkan sebuah lori tunda yang dipercayai terbabas sebelum merempuh empat kereta dan sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Putrajaya-Dengkil, Sepang, Selangor pada Rabu.

Insiden terbabit turut tular selepas ia dikongsikan di media sosial.

Menerusi klip yang memaparkan keadaan di tempat kejadian, beberapa mangsa dilihat sudah terbaring di tepi jalan.

BACA LAGI: Ketua Menteri Melaka tak perlu layan provokasi bubar DUN

BACA LAGI: Kos ganti paip air lama dianggar cecah RM10 bilion — Menteri

Pada masa sama, lori tunda terbabit didapati sudah terbabas ke dalam longkang di tepi jalan berkenaan manakala sebuah lagi kereta terlibat sudah jatuh ke cerun tepi laluan berkenaan.

Pegawai perubatan juga dilihat sudah tiba di lokasi untuk memberikan bantuan.

Difahamkan, dua mangsa kemalangan terbabit dipercayai maut dengan salah seorang daripada dikatakan merupakan staf Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku pada pukul 9.10 pagi Rabu.

Beliau berkata, ketika tiba di tempat kejadian, pemandu lori tunda terbabit dipercayai terkena serangan jantung sehingga menyebabkan lori yang dipandunya terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia merupakan penunggang motosikal dengan seorang daripadanya disahkan maut di tempat manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis IPD Sepang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram