Pindaan Akta 355 perlu lebih masa — PM Anwar


  • Primer
  • Selasa, 16 Jul 2024

Akta 355 bertujuan untuk mempertingkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, yang turut merangkumi cadangan untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan jenayah syariah.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang pindaaan kepada Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) perlu dilaksana secara teliti.

Menurut Anwar, ia perlu dilakukan dengan mengambil kira pandangan semua pihak sama ada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, selain pakar undang-undang antarabangsa.

Beliau juga telah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), minggu lepas berkenaan RUU 355.

BACA LAGI: Nama 2F jadi pilihan, penyokong Kedah reda Syafiq Ahmad tak dapat turun lawan JDT

BACA LAGI: Dengarnya 6 pemain baharu sudah lapor diri, ada bintang JDT tunggu masa ditunjukkan jalan keluar menjelang Ogos

"Minggu lalu, saya telah menghadap Sultan Nazrin, pengerusi MKI yang baharu, dan baginda telah bersetuju dengan rangka kerja awal (cadangan pindaan) yang dibentangkan oleh panel pakar, yang turut disampaikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

"Sultan Nazrin menyatakan kesediaan baginda untuk perbincangan lanjut semasa mesyuarat MKI akan datang pada penghujung Ogos.

"Ini bermakna sudah ada kemajuan dan saya harap semua orang termasuk negeri-negeri dapat melihat perkara ini secara positif,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Memartabatkan Badan Kehakiman dan Perundangan Syariah Malaysia pada Isnin.

WhatsApp Image 2024-07-16 at 08.45.47

Sultan Nazrin menyatakan kesediaan baginda untuk perbincangan lanjut semasa mesyuarat MKI akan datang pada penghujung Ogos.

Anwar berkata, beliau telah meminta jawatankuasa yang menyelia pindaan itu untuk mendapatkan pandangan daripada pakar antarabangsa, seperti saranan Sultan Nazrin.

"Berdasarkan perbincangan kami, Sultan Nazrin bertitah supaya perkara itu dirujuk kepada pakar antarabangsa sebelum dikembalikan kepada Jabatan Peguam Negara yang kemudiannya perlu mendapat perkenan daripada Majlis Raja-raja.

"Saya menyeru sesiapa yang mempunyai kepakaran untuk melibatkan diri dengan kami dan membincangkannya. Saya telah meminta jawatankuasa untuk merujuk kepada pakar antarabangsa juga,” kata Anwar, sambil menjelaskan langkah tambahan itu tidak dilakukan secara sengaja untuk menangguhkan pindaan itu.

Sebagai rekod, Akta 355 bertujuan untuk mempertingkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, yang turut merangkumi cadangan untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan jenayah syariah.

Dalam majlis sama, Anwar turut menyatakan komitmennya untuk menyegerakan cadangan pelaksanaan Akta Saraan Hakim Syarie bagi mengangkat taraf hakim Mahkamah Syariah supaya setanding dengan hakim Mahkamah Sivil.

Beliau menambah bahawa terdapat keperluan untuk mencapai keseimbangan antara Skim Perkhidmatan Kehakiman Syariah dan Skim Perkhidmatan Kehakiman Awam.

"Saya dimaklumkan mengenai Akta Saraan Hakim Syarie. Kini ia mengikuti skim PTD (Pegawai Tadbir dan Diplomatik).

“Saya akan minta Mohd Na’im mempercepatkan penggunaan Akta Saraan Hakim Syarie, supaya taraf Hakim Syarie dapat dinaikkan," kata Anwar.

Turut hadir pada konvensyen itu termasuk Mohd Na’im dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram