BERSATU mahu heret 6 MP sokong PM Anwar ke mahkamah — Azmin Ali


  • Politik
  • Isnin, 15 Jul 2024

Azmin Ali menegaskan, parti politik itu mahu mengheret kesemua bekas ahli BERSATU berkenaan ke muka pengadilan meskipun keputusan Speaker sudah dibuat.

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu akan berbuat demikian meskipun keputusan sudah dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Speaker DUN Selangor, Lau Weng San.

"Saya percaya mahkamah akan membuat keputusan terbaik berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang," katanya ketika berucap pada Himpunan Rakyat Lawan Hipokrasi di Tanjong Karang, Selangor pada Ahad.

BACA LAGI: Notis isytihar kekosongan kerusi Selat Klang sudah dihantar kepada Speaker DUN Selangor — Azmin Ali

BACA LAGI: Faizal Azumu undur diri, Hamzah Zainudin sah bertanding Timbalan Presiden BERSATU

2549776

BERSATU berhasrat mendapatkan keadilan atas keputusan Speaker Dewan Rakyat dan DUN Selangor.

Menurut Azmin, semakan di peringkat mahkamah dibuat bagi memastikan kerusi dikosongkan dan mandat rakyat dipulangkan semula menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK).

"Kepada Adun Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanafi, sila kosongkan kerusi anda sebelum mahkamah membuat keputusan. Anda meraih kemenangan kerana orang ramai dan jentera parti sudah membantu anda. Tetapi, awak melakukan pengkhianatan," katanya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu turut berkata, kerajaan pusat dan negeri ketika ini sedang berdepan krisis perlembagaan yang kritikal.

"Ia adalah tugas kami untuk mempertahankan Persekutuan Perlembagaan yang menjaga undang-undang dalam negeri dan negara ini. Apa yang kerajaan sedang lakukan ketika ini adalah bercanggah dengannya," kata Azmin.

Sebelum ini, kesemua enam bekas Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri kekal di kerusi masing-masing.

Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan perkara berkenaan selepas Johari menghantar surat yang bertarikh Rabu lepas.

Sehari selepas itu, Lau pula mengumumkan tiada kekosongan akan dilakukan terhadap kerusi milik Adun Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asar.

Menurutnya, penamatan keahlian BERSATU Adun Selat Klang itu adalah tidak sah kerana bercanggah dengan Artikel LXVA 2(c) Perlembagaan Negeri Selangor. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram