AHLI Parlimen pembangkang pada Isnin bertindak memasuki sidang Dewan Rakyat dengan memakai lilitan putih di lengan kiri masing-masing.
Tindakan tersebut dibuat sebagai tanda protes terhadap keputusan Speaker Tan Sri Johari Abdul yang tidak mengosongkan kerusi enam bekas wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Salah seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika bangkit mengajukan soalan pada pertanyaan Jawab Lisan berkata, tindakan tersebut dibuat kerana protes 'reformati' terhadap Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
BACA LAGI: Syed Saddiq persoal 'peraturan baharu' dana Ahli Parlimen Pembangkang
BACA LAGI: Protes keluar Dewan ketika persidangan Parlimen budaya politik tak sihat
Nurul Amin (kiri) dan Roslan Hashim memakai lilitan kain putih di lengan kiri masing-masing. — Facebook/Nurul Amin Hamid
"Reben putih di lengan kiri, sebagai protes berlakunya 'reformati'.... spesifik merujuk kepada 49A,' katanya memberikan pantun sebelum mengajukan soalan.
Sebelum itu, Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) ketika bangkit mengajukan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh turut dilihat memakai lilitan sama.
Selain itu, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) juga mengenakan reben putih di lengan masing-masing.
Minggu lepas, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan Ahli Parlimen blok pembangkang memakai lilitan putih juga sebagai meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan Johari yang disifatkan sebagai 'black decision'.
Pada Selasa lalu, Johari menerusi surat kepada BERSATU memaklumkan enam bekas Ahli Parlimen parti itu yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat.
Enam Ahli Parlimen yang dikekalkan kedudukan sebagai wakil rakyat walaupun keahlian mereka digugurkan daripada BERSATU adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). — The Star/GERARD GIMINO/TARRENCE TAN/RAGANANTHINI VETHASALAM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram