Kekasih sendiri suspek kes bunuh Nur Farah Kartini — Polis


  • 112
  • Selasa, 16 Jul 2024

Suspek dilihat memakai pelitup muka dan memakai baju lokap polis berwarna oren.

KETUA Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, adalah teman lelakinya.

Menurut laporan media tempatan, lelaki yang ditahan polis itu bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada Isnin.

BACA LAGI: Polis tahan penjawat awam lelaki disyaki terbabit kes bunuh Nur Farah Kartini

BACA LAGI: Abang tak putus harapan, keluarga di Sarawak terkedu terima khabar duka kematian Nur Farah Kartini

"Berpandukan siasatan terhadap suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, petang semalam.

"Bagaimanapun, motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya.

Sebelum ini, suspek berusia 26 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor untuk permohonan reman.

Suspek dilihat memakai pelitup muka dan memakai baju lokap polis berwarna oren dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.

Sebelum ini, Farah Kartini, dilaporkan hilang dipercayai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada Rabu lalu.

Mangsa juga difahamkan, bekerja di bahagian pemasaran sebuah syarikat percetakan di Tanjung Malim, namun dalam masa sama turut membuat kerja sambilan di syarikat penyewaan kereta.

Polis sebelum ini merakam keterangan tujuh individu yang dapat membantu siasatan kes kehilangan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram