AHLI Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin sah akan bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang akan datang.
Perkhabaran terbaharu itu disahkan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas selesai Konvensyen Bersatu di Selayang, Selangor pada Sabtu.
Menurut beliau, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Peja) yang juga penyandang jawatan tersebut sedia mengundur diri bagi memberi laluan kepada Hamzah.
BACA LAGI: Mahu kekal berkhidmat di Perak, Faizal Azumu umum tidak bertanding mana-mana kerusi 6 PRN
BACA LAGI: PRU15: Faizal Azumu main sentimen ‘anak jati’, menang atau tidak tetap di Tambun
Hamzah kini memegang portfolio sebagai Ketua Pembangkang.
“Peja (Faizal) sedia lepaskan jawatan itu dan tak bertanding Timbalan Presiden kerana berikan ruang kepada Hamzah Zainudin untuk mengambil tugas sebagai Timbalan Presiden.
“Ini atas dasar mengiktiraf peranan Setiausaha Agung PN, tidak kurang penting juga beliau sebagai Ketua Pembangkang Perikatan Nasional (PN) di Parlimen yang banyak pengaruh.
“Hubungan yang akrab dengan parti komponen lain seperti PAS. Ini semua kita ambil kira. Saya fikir saya tiada halangan langsung untuk Datuk Seri Hamzah memimpin sebagai Timbalan Presiden dan membantu saya," katanya.
Tambah beliau, parti itu juga bersetuju untuk menawarkan jawatan Setiausaha Agung BERSATU kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Azmin Ali ditawarkan jawatan Setiausaha Agung BERSATU.
Ketika ditanya adakah pengumuman tersebut bermakna Hamzah menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden BERSATU, Muhyiddin menegaskan mungkin tiada pencabar bagi jawatan tersebut.
Jelasnya, parti sudah berbincang dan bersetuju untuk membenarkan Hamzah memegang jawatan berkenaan namun, perlembagaan parti masih tidak menghalang ahli untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.
Sebelum ini, jawatan disandang Ahmad Faizal itu menjadi panas selepas Mohamed Azmin dikatakan bakal bertanding bagi merebut jawatan tersebut.
Sekiranya pertembungan itu benar-benar berlaku, ia bakal menyaksikan persaingan dua ‘heavyweight’ politik negara bagi merebut jawatan tersebut.
Begitupun, pengumuman terkini daripada Muhyiddin itu mungkin meredakan sedikit suhu pemilihan, andai kata Mohamed Azmin menerima tawaran Setiausaha Agung itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram