Kerajaan tak kosongkan kerusi sebab takut kalah PRK lagi, dakwa Muhyiddin


  • Politik
  • Sabtu, 13 Jul 2024

Muhyiddin mengatakan Kerajaan Perpaduan sudah tidak memiliki sokongan daripada rakyat.

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Muhyiddin Yasin mendakwa kerajaan enggan mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Dewan Rakyat yang disandang bekas ahli parti itu kerana takut kalah dalam pilihan raya lagi.

Menurut laporan MalaysiaKini, dalam ucapannya pada konvensyen parti itu pada Sabtu, Ahli Parlimen Pagoh tersebut berkata, pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap baru-baru ini adalah bukti bahawa terdapat peningkatan sokongan terhadap gabungan Perikatan Nasional (PN).

"Walaupun mereka berkuasa, mereka sebenarnya lemah, amat lemah. Saya tidak pernah lihat dalam sejarah politik saya parti kerajaan boleh kalah dengan begitu teruk dalam sebuah PRK. Dengan segala kuasa yang ada pada mereka, aneh mereka kecundang sebegitu rupa.

BACA LAGI: Rakyat muak drama politik, BERSATU elok heret ke mahkamah

BACA LAGI: Perlembagaan BERSATU bertentangan Perlembagaan Persekutuan, tegas Yang Dipertua Dewan Rakyat

Bersatu founder and president Tan Sri Muhyiddin Yassin with other supreme council members and delegates at the Bersatu convention in Kuala Lumpur on Saturday. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Muhyiddin (tengah) berkata demikian dalam satu konvensyen BERSATU pada Sabtu.

"Kerana itulah mereka takut hendak mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN yang disandang bekas ahli-ahli BERSATU yang berpaling tadah walaupun tindakan itu bertentangan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

"Mereka sanggup langgar peruntukan perlembagaan yang mereka sendiri perjuangkan dan gubal kerana takut kalah," katanya.

Muhyiddin yang merupakan bekas Perdana Menteri menyampaikan ucapan pelancarannya pada konvensyen khas yang diadakan di Selayang, Selangor.

Ia diadakan sebagai sesi menghuraikan dan menyemai idealisme dan prinsip BERSATU kepada ahli parti.

Dalam ucapannya, Muhyiddin mendakwa rakyat sudah muak dengan kerajaan dan dengan itu, mula mengalihkan sokongan kepada PN.

Menurutnya, ini terbukti pada PRK Sungai Bakap di Pulau Pinang yang menyaksikan PN berjaya mengekalkan kerusi itu dengan majoriti lebih besar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram