Selain bergerak solo, tak mustahil BN bentuk kerjasama dengan parti lain hadapi PRU16


  • Politik
  • Isnin, 15 Jul 2024

Teka-teki sama ada Umno bergerak solo atau membentuk kerjasama dengan parti lain ketika PRU16 masih belum terjawab.

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022 menyaksikan tiada mana-mana parti mahupun gabungan berjaya memenangi kerusi mencukupi bagi membentuk kerajaan secara bersendirian.

Situasi itu menyebabkan terbentuknya penubuhan kerajaan campuran melibatkan beberapa parti dan gabungan terdiri daripada antaranya Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan termasuk Barisan Nasional (BN).

Perkembangan tersebut turut mencatatkan sejarah baharu dalam politik negara apabila buat pertama kalinya dua musuh tradisi iaitu Umno daripada BN menjalinkan kerjasama dengan DAP yang merupakan parti komponen PH.

BACA LAGI: PN makin bergolak menjelang PRK DUN Nenggiri?

BACA LAGI: Protes keluar Dewan ketika persidangan Parlimen budaya politik tak sihat

Pembentukan kerjasama antara PH dan BN itu kemudiannya turut diteruskan selepas kemudiannya menerusi beberapa pilihan raya kecil (PRK) termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) kecil yang diadakan di enam negeri pada Ogos tahun lalu.

Namun, keputusan terhasil daripada kerjasama berkenaan dilihat masih belum menunjukkan hasil begitu meyakinkan.

Situasi itu menyebabkan kemungkinan kerjasama terbabit diteruskan dalam PRU16 akan datang menjadi tanda tanya.

Malah, kepimpinan tertinggi BN juga mula memperlihatkan sedikit pergeseran berhubung perkara tersebut melalui beberapa siri kenyataan yang bercanggah.

Pada 30 Jun lalu, Pengerusi BN merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu akan meneruskan kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU16.

Bagaimanapun, pendirian berbeza kemudiannya dilontarkan oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

BANDAR BAHARU, 19 Okt -- Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan perasmian pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran peringkat negeri Kedah di Dataran Serdang hari ini.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam responsnya mengenai perkara itu pada Sabtu, beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, masih tiada jaminan bahawa Umno akan bekerjasama dengan mana-mana gabungan politik dalam PRU akan datang.

Malah, beliau berkata, Umno setakat ini tidak terikat degan sebarang parti lain untuk bergabung pada PRU16.

Dengan masa depan kerjasama BN/PH dilihat masih belum dapat dipastikan, BN dilihat masih terbuka terhadap beberapa alternatif lain untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Bergerak solo

Antara pilihan boleh diambil BN untuk menghadapi PRU16 adalah dengan bergerak secara solo tanpa sebarang kerjasama dengan gabungan lain.

Pilihan ini bakal memberikan sepenuhnya kebebasan untuk BN menentukan strategi mereka untuk memasuki pilihan raya termasuk dalam menentukan pemilihan kerusi yang bakal ditandingi.

Pada masa sama, keputusan untuk bergerak solo juga bakal membolehkan gabungan ini bagi menjadi 'kingmaker' sekiranya keputusan PRU16 menyaksikan berulangnya insiden Parlimen tergantung seperti yang berlaku pada PRU15.

Ia secara langsung memberikan BN pilihan untuk menentukan bentuk gabungan mana yang mereka mahu bekerjasama bagi membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, perkara itu hanya akan berlaku sekiranya BN berupaya untuk memenangi kerusi yang sama atau lebih banyak berbanding pada PRU lalu.

Dengan mengambil kira senario kemerosotan sokongan terhadap gabungan ini sejak beberapa pilihan raya lalu, pilihan ini juga berpotensi memakan diri sekiranya keputusan menyaksikan mereka kehilangan lebih banyak kerusi.

Situasi tersebut sekiranya berlaku bakal meletakkan masa depan BN di dalam bahaya.

Pada PRU15, BN hanya memenangi 41 kerusi dengan Umno terdiri daripada 37 kerusi, MCA (dua) manakala MIC dan PBRS masing-masing satu kerusi.

Kembali hidupkan MN

Selain bergerak solo, BN yang diketuai oleh Umno turut mempunyai pilihan menjalinkan kerjasama dengan PAS yang kini merupakan parti dengan jumlah kerusi terbesar di Parlimen di Dewan Rakyat menerusi Muafakat Nasional (MN).

Kemungkinan terhadap kerjasama ini dilihat boleh berlaku dengan mengambil kira terdapat beberapa pimpinan di dalam Umno yang lebih mesra terhadap PAS dan Perikatan Nasional (PN).

Pada masa sama, ahli di peringkat akar umbi juga dilihat lebih lunak dalam menerima idea kerjasama tersebut berbanding dengan hubungan bersama PH yang turut terdiri daripada DAP.

Namun, kemungkinan tersebut berkemungkinan agak sukar untuk direalisasikan dengan mengambil kira pendirian semasa kepimpinan tertinggi Umno yang seakan-akan sudah menutup ruang untuk menjalin kerjasama dengan PAS.

Pada masa sama, dengan pencapaian cemerlang ditunjukkan PAS bersama PN yang turut dianggotai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika PRU15 dan PRN lalu, agak sukar untuk melihat PAS meninggalkan gabungan berkenaan untuk berdapn PRU akan datang.

2789600

Umno dan PAS sebelum ini pernah bekerjasama menerusi penubuhan MN.

Tambahan pula, BERSATU dan Umno juga dilihat bakal berebut segmen pengundi yang sama iaitu pengundi Melayu.

Situasi berkenaan pastinya akan menimbulkan masalah besar ketika proses pembahagian kerusi sekiranya ketiga-tiga parti berkenaan bergabung.

Untuk rekod, MN merupakan sebuah kerjasama yang dibentuk pada 14 September 2019 ekoran daripada Himpunan Penyatuan Ummah.

Gagasan yang dibentuk melibatkan Umno dan PAS itu kemudiannya turut disertai oleh BERSATU.

Piagam MN itu antara lain membawa agenda pemerkasaan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera di dalam pentadbiran negara.

Kerjasama tersebut bagaimanapun mula terjejas ekoran daripada pembentukan gabungan PN yang melibatkan PAS dan BERSATU.

Sertai third force

Dalam pada itu, Umno turut mempunyai pilihan ketiga dalam kerjasamanya bagi menghadapi PRU16 dengan cara menyertai blok third force atau kuasa ketiga yang ketika ini diisi oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis.

Kerjasama ini berkemungkinan merupakan alternatif yang paling agak sukar untuk direalisasikan berbanding dua pilihan pertama yang dinyatakan.

Ia dengan mengambil kira perbezaan ideologi dan juga pendirian antara Umno dan dua parti tersebut yang kini berada di dalam blok third force.

Tambahan pula, pada ketika ini, kerjasama MUDA dan PSM masih belum memberikan sebarang pencapaian meyakinkan apabila gagal untuk memenangi sebarang kerusi pada PRN yang diadakan pada Ogos lalu.

Untuk rekod, idea third force mula ditampilkan oleh Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas beliau membuat keputusan untuk keluar daripada blok Kerajaan di Dewan Rakyat.

Ia digagaskan dengan tujuan bagi memainkan peranan sebagai kuasa pendesak tambahan terhadap kerajaan selain blok pembangkang terbesar, PN. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram