Notis isytihar kekosongan kerusi Selat Klang sudah dihantar kepada Speaker DUN Selangor — Azmin Ali


  • Politik
  • Jumaat, 21 Jun 2024

Azmin (kanan) menunjukkan salinan notis yang diserahkan kepada Speaker DUN Selangor mengenai kekosongan kerusi bagi DUN Selat Klang.

NOTIS mengenai pengosongan kerusi disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Kelang, Datuk Rashid Asari ekoran terhentinya keahlian pemimpin itu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah dihantar kepada Speaker DUN Selangor, kata Datuk Seri Azmin Ali.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan telah bertemu Speaker Lau Weng San di Wisma Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada Jumaat berhubung perkara itu.

“Saya menegaskan bahawa di bawah Perkara LXVA(1) Perlembagaan Selangor, apabila Speaker menerima notis untuk mengosongkan kerusi dalam kalangan ADUN, beliau perlu memastikan ia berlaku dan memaklumkan kekosongan itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dalam tempoh 21 hari dari tarikh dia menerima notis itu,” kata Azmin.

BACA LAGI: Tak logik kalau ada negeri di Malaysia dakwa tidak pernah kena jajah — Pakar sejarah

BACA LAGI: Inilah masanya, Umno berpeluang rampas semula DUN Nenggiri

Pada 6 Mac lalu, Rashid secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

BERSATU baru-baru ini meminda perlembagaan partinya untuk secara automatik membatalkan keahlian mana-mana wakil rakyatnya yang beralih taat setia kepada parti lawan.

2587598

Datuk Rashid Asari

Dalam kenyataannya, Azmin menegaskan bahawa mengikut Perlembagaan Selangor, seorang ADUN yang dipilih tidak lagi menjadi wakil rakyat dan mesti mengosongkan kerusinya sebaik sahaja kekosongan itu disahkan Speaker dan dia tidak lagi menjadi ahli partinya.

“Saya maklumkan kepada Speaker bahawa Rashid telah berhenti menjadi ahli dan kerusi Selat Klang perlu diisytiharkan kosong.

“Notis makluman kepada Rashid juga telah dihantar pada 12 Jun untuk memaklumkan pemberhentian keahliannya selaras dengan Fasal 10.4 perlembagaan BERSATU.

“Akta Pertubuhan 1986 juga menyatakan bahawa keputusan parti politik berdasarkan tafsiran perlembagaannya adalah muktamad dan konklusif.

“Saya ingatkan Speaker supaya memegang sumpah untuk menjaga dan menjunjung Perlembagaan Selangor,” kata Azmin.

Pertemuan Azmin yang juga ADUN Hulu Klang bersama Speaker DUN Selangor itu turut diiringi ADUN Sungai Ramal, Shafie Ngah. — The Star/ZAKIAH KOYA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram