UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) sering kali menganjurkan program merantau ke luar negara bagi mengutip pengalaman baharu dan berkongsi citra budaya berbeza.
Baru-baru ini, pelajar UPM merasai pengalaman berpuasa di perantauan menerusi program K10 Skills and Knowledge Youth Empowerment (SKYE) Thailand yang dianjurkan oleh Kolej 10, UPM selama dua minggu.
Program itu dijalankan dengan menerokai keindahan di sekitar Hatyai dan Bangkok bermula pada 29 Februari hingga 13 Mac 2024.
Pengarah Program K10 SKYE Thailand, Hazimah Amani Kamalul Arifin berkongsi keterujaan dengan pengalaman berkaitan pemprosesan makanan di Panyapiwat Institute of Management (PIM), ladang Rai Sukphoang dan kilang CP Meiji yang sangat berkaitan dengan kursus pengajiannya.
“Pihak PIM menawarkan peluang untuk kami menjalankan latihan industri di Thailand, di samping berminat untuk menjalinkan hubungan dua hala antara UPM dan PIM.
"Ini membuktikan bahawa program K10 SKYE bukan sekadar mengasah kepimpinan dan kerjasama pelajar malahan turut berjaya membentuk satu jaringan hubungan dengan pelbagai pihak di luar negara,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Tidak harus hukum renjis kereta elak musibah, jelas Jabatan Mufti Selangor
Aktiviti sukarelawan di Madrasah Kampung Tha it, Nonthaburi, Bangkok.
Tidak hanya itu, pelajar juga berkesempatan menjalankan aktiviti sukarelawan dengan komuniti Islam bersempena bulan Ramadan.
Aktiviti itu dimulai dengan acara suai kenal bersama pelajar muda di madrasah dan juga menunaikan solat fardu zuhur di surau kampung lama berusia 101 tahun iaitu, kampung Tha it.
Selepas berbuka bersama-sama masyarakat di kampung Tha it, semua peserta bergerak ke Sulaimaniyah Hafiz Quran Centre untuk solat terawih dan sesi bersama-sama 70 orang pelajar di pusat tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Program yang juga pelajar Ijazah Sains Seni Bina, Dakshayani Krishnan pula menganggap pengalaman itu membolehkannya mengenali cara hidup penduduk kampung tersebut semasa bulan Ramadan.
"Sebagai peserta bukan Muslim, saya dah rasa macam mana keadaan bulan Ramadan di sana.
"Kami juga buat aktiviti sukarelawan iaitu aktiviti latihan dan permainan dalam bahasa Inggeris dengan kanak-kanak di madrasah," katanya.
BACA LAGI: Saf lompong sebabkan solat tak sempurna? Mufti Kelantan tekankan perlunya cari kesempurnaan
Sornsasanasasanupatham School di Bangkok.
Para pelajar juga mengadakan lawatan ke Sornsasanasasanupatham School dan menjalankan interaksi dan perkongsian dengan pihak pengurusan sekolah.
Sekolah tersebut merupakan sebuah sekolah berasrama yang menekankan pelbagai aspek bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi kemandirian pelajar dan vokasional seperti lakonan, gunting rambut, dan penghasilan produk minyak angin dan cenderahati.
Semasa sesi interaksi, pelajar turut berkongsi pandangan dengan pengurusan sekolah dalam usaha menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris yang lebih efisien oleh pelajar sekolah dan kelayakan untuk pelajar sekolah tersebut melanjutkan pelajaran di UPM.
Selain itu, pelajar Bacelor Seni Bina dan Landskap, Shahrul Danish Sharif Shahrim berasa pengalamannya di Thailand sangat berbeza dari segi budaya, makanan dan tradisi.
"Saya dapat berkunjung ke bazar Ramadan di Bangkok, dapat melihat tradisi masyarakat Muslim di Bangkok, malahan berkenalan dengan orang lama di sana yang masih boleh berbahasa Melayu lama," katanya.
Antara tempat menarik yang dilawati pelajar-pelajar berkenaan adalah mercu tanda Prince of Songkla University (PSU) seperti Pumpkin House, perpustakaan, Hall of Fame serta lawatan ke Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Industri dan PSU Science Park.
Seterusnya, peserta juga melakukan aktiviti kesukarelawanan alam sekitar dengan aktiviti plogging di sekitar kawasan pantai Samila, Songkla.
Setelah beberapa hari berada di Selatan Thailand, peserta bergerak ke Bangkok dan menjalankan aktiviti di PIM yang merupakan sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang bernaung di bawah CP All, sebuah syarikat yang juga merupakan pemilik bagi syarikat 7-eleven, CP Food dan CP Meiji.
Interaksi bersama-sama pihak dari Bahagian Antarabangsa PIM dijalankan sebelum pelajar dibawa melawat sekitar kampus PIM termasuk ke iCras (Robotics and Automation Sciences), PIM AIR, dan 7-11 Tara (premium).
Para pelajar turut menjalankan lawatan ke kilang CP Meiji, Saraburi yang menjalankan pemprosesan minuman berasaskan tenusu untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Aktiviti pertanian di ladang Rai Sukphoang, Ratchaburi, Thailand.
Pelajar juga telah mengadakan lawatan ke ladang Rai Sukphoang, di Ratchaburi yang terletak kira-kira 3 jam dari Bangkok.
Ketika di ladang berkenaan, mereka didedahkan dengan konsep ‘Good Agriculture Practices’ yang diamalkan secara menyeluruh di ladang tersebut, selain pemilik ladang berkongsi tentang tanaman buluh, koko, paku-pakis dan tebu.
Pegawai Pengiring Program K10 SKYE Thailand, Noor Hazwani Abdul Rahim menyifatkan program itu mampu memberi pendekatan yang luas meliputi banyak elemen seperti sains dan teknologi, pertanian, lawatan industri, seni dan budaya serta kesukarelawan.
"Idea mengadakan lawatan ke industri CP Meiji dan ladang Rai Sukphoang adalah sebagai pendedahan awal untuk membuka mata dan minda pelajar.
"Adanya lawatan sebegini juga mampu memperkasakan bidang pertanian sekali gus keterjaminan sekuriti makanan dalam negara dapat dipertingkatkan sesuai dengan Matlamat 4 Universiti Putra Malaysia," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram