KERAJAAN masih mengkaji dan melakukan penelitian semula terhadap pelaksanaan subsidi dan bantuan yang bakal diberikan kepada rakyat termasuk melibatkan bahan api RON95, kata Kementerian Ekonomi.
Menurutnya, cadangan pelaksanaan subsidi bersasar bagi RON95 akan diperhalusi dari semua aspek untuk memastikan inisiatif itu berjalan lancar di samping meningkatkan keberkesanan penyaluran bantuan kepada rakyat.
Kementerian itu berkata, sesi libat urus akan diadakan dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap aspek diambil kira termasuk garis masa pelaksanaan dan mekanisme sesuai yang membolehkan mereka terjejas menerima manfaat sewajarnya.
BACA LAGI: Penyertaan BRICS: Pembangkang minta kerajaan waspada matlamat politik blok perjanjian ekonomi baharu
BACA LAGI: Status kerusi tradisi tak beri jaminan, skrip Sungai Bakap berpotensi berulang di Nenggiri
“Kerajaan sedang mempertimbangkan pelbagai cadangan berdasarkan kes penggunaan yang dijalankan menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
“Selain itu, pengagihan bantuan sosial juga sedang dikaji bagi memastikan rakyat khususnya penerima bantuan tidak terlalu terbeban dengan jangkaan kenaikan harga barang apabila kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi,” menurut Kementerian Ekonomi dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada Khamis.
Rasionalisasi subsidi diesel di Semenanjung Malaysia mula dilaksanakan pada 10 Jun lalu. — Gambar hiasan
Kementerian itu menjawab pertanyaan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang ingin mengetahui mekanisme bakal digunakan untuk rasionalisasi subsidi petrol dan diesel, termasuk garis masa pelaksanaan, implikasi kewangan dan kaedah.
Kementerian itu menambah, sebarang keputusan diambil oleh kerajaan akan dimaklumkan dengan jelas kepada rakyat bagi mengelakkan kekeliruan terhadap dasar dirancang untuk dilaksanakan.
"Buat masa ini, tumpuan dan keutamaan adalah untuk melaksanakan subsidi diesel sehingga rasionalisasi subsidi diesel stabil dan mencapai objektif yang ditetapkan," katanya.
Ia menambah inisiatif penyasaran subsidi bahan api menerusi rasionalisasi subsidi diesel yang bermula pada 10 Jun 2024 dijangka mengukuhkan kedudukan fiskal negara dan mengurangkan ketirisan akibat aktiviti penyeludupan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram