Wee Ka Siong serah senarai rayuan pemohon matrikulasi kepada PM Anwar


  • Primer
  • Selasa, 09 Jul 2024

Dr Wee (kiri) menyerahkan senarai nama pemohon matrikulasi yang gagal dalam rayuan kepada Perdana Menteri. — Facebook/Wee Ka Siong

SENARAI nama pemohon matrikulasi yang gagal dalam rayuan untuk diterima masuk ke program itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Presiden MCA itu berkata, Ketua Biro Pendidikan Pemuda MCA, Ong Chee Siang telah menyerahkan senarai itu di lobi Parlimen pada Selasa (9 Julai).

Dr Wee berkata, beliau kemudiannya menyerahkan senarai nama itu kepada Anwar selepas waktu sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau juga berharap akan mendapat berita baik mengenai penempatan senarai pelajar itu tidak lama lagi.

BACA LAGI: Saya percaya mereka akan bantu Umno menang PRK Nenggiri — Zahid Hamidi

BACA LAGI: 'Habislah ekosistem sungai', ramai kecam MPS lepas ikan patin 'monster' di Tasik Biru

"Cawangan Pemuda MCA telah menyusun senarai pemohon yang tidak berjaya sejak keputusan rayuan diumumkan pada Jumaat lepas (5 Julai)," kata Presiden MCA itu di Facebook.

Dr Wee berkata, daripada 151 pelajar yang gagal dalam rayuan untuk diterima masuk ke program matrikulasi, 74 layak ke matrikulasi kerana mendapat 'straight A'.

Tambahnya lagi, 65 pelajar telah mendapat lebih daripada 10A dengan tujuh mendapat 11A penuh.

"53 pelajar mendapat 10A penuh, manakala lima yang mengambil 11 mata pelajaran tetapi mendapat 10A. Terdapat juga sembilan pelajar yang mendapat 9A penuh," jelasnya.

Jelas Dr Wee lagi, bahawa senarai itu, yang disusun oleh sekretariat Pemuda MCA, telah dimuktamadkan pada 8.30 pagi Selasa.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram