UMNO tidak perlu meletakkan calon berstatus nama besar atau 'heavyweight' untuk bersaing bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan yang akan berlangsung pada bulan depan.
Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, berbeza dengan negeri kawasan di Pantai Barat, pengundi di Pantai Timur dilihat lebih cenderung untuk memilih calon dengan latar belakang anak tempatan.
Ujarnya, yang lebih penting, calon berkenaan juga perlu dilihat sebagai individu yang dikenali oleh penduduk setempat dan mudah mendekati serta sentiasa berada bersama masyarakat.
"Dia mesti orang yang dikenali dan mudah memberikan bantuan. Dia tak boleh calon 'parachute' yang jadi bidan terjun dan datang daripada luar. Kemudian DUN Nenggiri ini merupakan kawasan luar bandar. Jadi kalau boleh jika ada kematian, mereka ini nak wakil rakyat datang.
"Kriteria calon ini dia bukan macam macam di Pantai Barat yang mana pengundi nak wakil rakyat ini membawa suara mereka.
"Daripada segi pendidikan itu, kalau ada mungkin bonus. Kalau ada PhD pun, lepas itu diangkat-angkat sangat pun sebenarnya boleh buat orang menyampah," katanya kepada Majoriti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri yang terletak di bawah Parlimen Gua Musang akan berlangsung pada 17 Ogos dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.
Bekas ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim.
PRK ini diadakan susulan terbatalnya keahlian Mohd Azizi Abu Naim daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan membawa kepada pengosongan kerusi DUN berkenaan pada 19 Jun lalu oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Dalam pada itu, Umno Gua Musang dilaporkan mengangkat tiga nama kepada kepimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon bagi PRK Nenggiri.
Tiga nama berkenaan ialah Ketua Pemuda Umno Kelantan merangkap Ketua Pemuda Bahagian Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani; Ketua Penerangan Umno Gua Musang, Amran Arifin dan Ketua Wanita Umno Gua Musang, Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli.
Mengulas mengenai nama yang dikemukakan itu, Mazlan berkata, Mohd Azmawi dilihat sebagai calon yang agak menyerlah untuk mewakili Umno bagi bersaing dalam PRK kali ini.
Ujarnya, jawatannya sebagai Ketua Pemuda Umno Kelantan dan Ketua Pemuda Bahagian Gua Musang disifatkan membuktikan kewibawaannya dalam kerja-kerja di peringkat akar umbi dan yang dekat dengan masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Mazlan berkata, Umno dilihat bakal memasuki persaingan PRK DUN Nenggiri sebagai 'underdog' dalam usahanya untuk merampas kembali kerusi berkenaan.
Perikatan Nasional (PN) dijangka akan menampilkan calon daripada BERSATU untuk mempertahankan DUN Nenggiri dalam PRK kali ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram