PASANGAN suami isteri yang juga pempengaruh media sosial kekal direman empat hari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan mereka untuk mengetepikan perintah reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak permohonan semakan yang dibuat Mohd Hazalif atau lebih dikenali sebagai Alif Teega, 30 tahun dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari, 26, itu selaku pemohon.
Ketika membaca keputusan, beliau berkata, Majistret Putrajaya telah mematuhi peruntukan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dalam membenarkan permohonan reman yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
BACA LAGI: [VIDEO] Ahli perniagaan tudung terkenal, suami direman kes seleweng derma cecah jutaan ringgit
BACA LAGI: Pasangan 'influencer' sudah kutip derma RM3 juta sejak 2020
“Isu tiada kaitan antara pemohon dengan kesalahan yang disiasat tidak mempunyai merit.
Mahkamah bagaimanapun berpendapat ia hanya boleh dibuat selepas siasatan selesai.
“SPRM mesti dibenarkan untuk melengkapkan siasatan mereka ke atas pemohon dan perintah reman oleh majistret ke atas pemohon adalah sah.
“Oleh itu, permohonan untuk semakan ditolak,” kata Hakim Muhammad Jamil.
Terdahulu, peguam pasangan itu Abd Rahim Ali berhujah bahawa anak guamnya tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana entiti awam apabila mereka disiasat atas kapasiti penjawat awam.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, permohonan semakan itu adalah terlalu awal.
Pada Khamis, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM untuk menahan Mohd Hazalif dan Aisyah Hijanah selama empat hari sehingga 14 Julai atas dakwaan penipuan menggunakan platform derma dikenali sebagai JomDonate. — The Star/ NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram