KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengarahkan pengurusan sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur untuk menghentikan operasi mesin layan diri yang menjual rokok eletronik serta-merta selepas tular di media sosial baru-baru ini.
KKM dalam satu kenyataan berkata, susulan aduan orang awam, pihaknya turun bertemu dengan pihak pengurusan pusat membeli belah terlibat dan bersetuju menutup operasi mesin layan diri itu.
“KKM memandang serius isu berkaitan aduan penjualan rokok elektronik atau vape menerusi mesin layan diri (vending machine) sebagaimana tular di Aplikasi X sejak Rabu.
“Khusus bagi aduan ini, pihak KKM telah turun dan bertemu dengan pihak pengurusan pusat membeli belah yang terlibat bagi menerangkan tentang larangan penjualan menerusi mesin layan diri tersebut,” katanya.
BACA LAGI: Penguatkuasaan vape berpotensi ulangi kelemahan kawalan rokok — MCTC
BACA LAGI: 26,000 rakyat Malaysia maut akibat rokok setiap tahun — Menteri Kesihatan
Sebuah mesin layan diri tular kerana menjual rokok eletronik secara terbuka. — X/boosulyn
Dalam kenyataan sama KKM berkata, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), Seksyen 10 memperuntukkan larangan penjualan dan pameran semua produk merokok.
Peraturan berkaitan penjualan juga melarang penjualan termasuk menerusi kaedah mesin layan diri adalah dan kini sedang diperhalusi serta akan dikuatkuasakan bersama Akta 852 setelah diluluskan.
KKM menjelaskan larangan penjualan rokok elektronik melalui mesin layan diri ini juga kesinambungan daripada larangan penjualan hasil tembakau seperti rokok, cerut dan tembakau lerai melalui mesin layan diri di bawah peraturan sedia ada iaitu Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 281).
“Sebagai persediaan ke arah penguatkuasaan Akta bersama peraturan dan perintah di bawahnya, KKM telah mengadakan Siri Taklimat Penguatkuasaan Akta 852 kepada semua pegawai penguatkuasa KKM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara bermula 9 Jun 2024.
“Ini adalah bagi memaklumkan tentang larangan-larangan yang terdapat di bawah Akta 852 dan peraturan di bawahnya termasuk larangan penjualan produk merokok melalui mesin layan diri,” katanya menerusi kenyataan itu.
KKM sentiasa mengadakan hebahan, taklimat dan sesi penerangan dari masa ke masa untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya tabiat merokok termasuk penggunaan rokok elektronik.
Golongan perokok dan pengguna rokok elektronik dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan berhenti merokok mengikut kaedah yang diiktiraf oleh KKM di mana-mana klinik kesihatan yang menyediakan perkhidmatan berhenti merokok. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram