PENGUATKUASAAN terhadap rokok elektronik atau vape di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) berpotensi mengulangi kelemahan berlaku dalam kawalan terhadap rokok tembakau sekiranya kerajaan masih menggunakan pendekatan sama.
Pengerusi Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr Murallitharan Munisamy berkata, pada waktu ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum mengeluarkan sebarang peraturan dan panduan baharu berhubung akta tersebut meskipun selepas lebih tiga bulan ia diwartakan.
Menurutnya, kewujudan panduan itu sangat penting bagi membolehkan ia dikuatkuasakan sekali gus mengawal penggunaan vape di dalam negara.
"Kalau kita lihat program atau pelan yang dijalankan sebelum ini untuk penguatkuasaan terhadap kawalan rokok tembakau, ia pastinya akan menampakkan hasil yang sama," katanya kepada Majoriti.
Pengerusi MCTC, Dr Murallitharan Munisamy.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan kerajaan akan mula mengetatkan kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik bermula pada bulan ini.
Langkah itu selari dengan penguatkuasaan Peraturan-peraturan kawal selia di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang bermula pada Jun.
Beliau berkata, pada waktu ini, penggunaan rokok elektronik masih dikawal selia di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Mengulas lanjut, Dr Murallitharan berkata, memandangkan masih tiada lagi peraturan dikeluarkan, beliau tidak dapat memberikan sebarang saranan mengenai penambahbaikan yang perlu dilakukan khususnya dalam pengawalan vape.
Ujarnya, peraturan itu antara lain meliputi butiran mengenai jumlah saman dan jenis kesalahan yang diperuntukkan di bawah akta tersebut.
"Setakat ini tiada lagi ada orang tahu macam mana rupa bentuk peraturan tu. Jadi kita memang tak boleh komen apa yang perlu ditambah baik sebab keadaan asal dia pun kita tidak tahu lagi," kata beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar KKM segera mengeluarkan peraturan dan panduan tersebut bagi membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan.
Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) tidak terhad hanya kepada kawalan terhadap rokok tembakau. — Gambar hiasan
Bagaimanapun, daripada segi pembaharuan pendekatan yang digunakan dalam aspek penguatkuasaan, Dr Murallitharan berkata, KKM harus memastikan supaya pelaksanaannya berada di tahap agresif dan sentiasa konsisten.
"Mungkin bila dia mula itu, kena buat secara agresif selama lapan bulan atau sepanjang tahun pertama. Bila buat macam itu, baru kesedaran dalam masyarakat tinggi," ujarnya.
Untuk menangani isu ketidakcukupan petugas bagi melakukan penguatkuasaan dan kawalan, beliau berkata, isu itu boleh dilakukan menerusi pemerkasaan komuniti dalam memantau perkara tersebut.
Untuk tujuan itu, beliau berkata, KKM boleh menyediakan platform aduan termasuk di media sosial dan laman web untuk membolehkan orang ramai membuat aduan berhubung sebarang perlanggaran peraturan yang berlaku.
"Sebagai contoh, KKM boleh sediakan satu portal contohnya untuk orang ramai hantar atau tag kongsikan informasi dan gambar kesalahan yang dilakukan. Jadi komuniti itu sendiri boleh bantu dalam buat penguatkuasaan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram