PENDAKI wanita yang cedera terjatuh dalam gaung semasa dalam perjalanan turun dari puncak Gunung Korbu, Perak dilaporkan telah selamat dibawa turun pada awal pagi Selasa.
Operasi menyelamat itu dilakukan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun dibantu malim gunung pukul 4.20 petang Isnin, dengan pendaki itu berjaya dibawa keluar kira-kira 1.30 pagi Selasa.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi kenyataannya pada Selasa berkata, Komander Operasi Kanan JBPM, PPgB Mohd Jamalludin Mat Yusop bersama enam anggota bomba dibantu oleh beberapa orang Malim Gunung Perhutanan telah berjaya membawa turun mangsa dengan selamat dengan menggunakan pengusung (stretcher) hingga ke tapak permulaan pendakian.
BACA LAGI: Wanita 90 kg cedera tulang rusuk, jatuh gaung ketika turun Puncak Gunung Korbu
BACA LAGI: 'Bukan kehilangan tapi kita memulangkan', isteri reda rangka ditemui milik Muhammad Syafiq
Namun, mangsa yang mengadu mengalami sakit di bahagian tulang belakang badan kemudiannya diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera.
Terdahulu, mangsa yang berusia 39 tahun itu telah menyertai aktiviti pendakian ke Gunung Korbu dan turut disertai oleh 34 orang pendaki yang lain bermula 6 hingga 8 Julai 2024.
Namun, ketika dalam perjalanan keluar pada hari terakhir, mangsa dilaporkan tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung dengan ketinggian 10 meter dari trek laluan asal.
Pihak bomba menerima panggilan berhubung insiden itu pukul 3.29 pada Isnin sebelum menggerakkan pasukan dari BBP Tambun seramai 12 orang diketuai oleh PPgB Mohd Jamalludin Mat Yusop ke lokasi kejadian.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.00 pagi setelah mangsa selamat di bawa turun ke tapak permulaan pendakian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram