BADAN bukan kerajaan, Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengatakan yang Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul melakukan khilaf dalam memahami aspek dan mekanisme akta antilompat parti apabila mengekalkan kerusi disandang enam bekas Ahli Parlimen BERSATU.
BERSIH dalam kenyataan dikeluarkan mereka mengatakan, Johari melepaskan peluang terbaik untuk menguat kuasa dan memperkasa Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) berkait larangan Ahli Parlimen bertukar parti, yang buat kali pertama diuji dalam sejarah politik negara.
Pada hemat BERSIH, keputusan Johari itu menampakkan kelemahan kepada peraturan tersebut dan ini mendedahkan isu keyakinan rakyat terhadap perlembagaan negara.
BACA LAGI: Enam MP bekas ahli BERSATU jadi wakil rakyat Bebas, kedudukan dalam Dewan Rakyat ditentukan Speaker
BACA LAGI: Kedudukan 6 MP bekas Ahli BERSATU, Speaker bertindak ikut Perlembagaan — PM Anwar
Tan Sri Johari Abdul
"BERSIH menegaskan Yang Dipertua Dewan Rakyat terkhilaf dalam memahami mekanisme undang-undang antilompat parti serta membelakangkan prinsip dan hasrat penggubalan undang-undang terbabit.
"Ia membuka pintu ketidakstabilan politik dan menimbulkan polemik mengenai keberkesanan akta terbabit yang matlamat asalnya demi menjamin kestabilan politik negara," kata BERSIH.
Kata BERSIH lagi, Johari seharusnya menghormati perlembagaan parti kerana dalam penerangan yang dibuat oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), dinyatakan mengenai implikasi terhadap satu-satu Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekiranya gagal mematuhi arahan parti.
"Dalam satu slaid, ia memberi contoh situasi di mana sekiranya ada tindakan tidak mengikut keputusan parti berdasarkan perlembagaan (parti), maka ahli dianggap sudah bertukar parti dan perlu mengosongkan kerusi mereka.
"Justeru, BERSIH berpandangan Yang Dipertua Dewan Rakyat mensia-siakan peluang untuk menguatkuasakan serta memperkasakan akta yang didukung dua pertiga anggota Dewan Rakyat apabila ia kali pertama diuji dalam sejarah politik negara.
"Keputusan ini juga akan terus menajamkan perbezaan di antara kerajaan dan pembangkang, menyukarkan kerjasama profesional untuk melakukan reformasi, serta membebaskan Parlimen dari keterikatan dengan badan eksekutif," ujar BERSIH.
Enam ahli BERSATU, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Mohd Aziz Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) dipecat kerana menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram