[VIDEO] Polis tembak tayar van cuba larikan diri sekatan di Bayan Lepas


  • 112
  • Rabu, 10 Jul 2024

Tangkap layar video memaparkan kenderaan dipandu suspek yang terbabas dalam kejadian pada Rabu.

TINDAKAN seorang pemandu van cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Lepas, Pulau Pinang membawa padah selepas polis bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaannya sehingga menyebabkannya terbabas.

Kejadian pada Rabu itu turut dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi.

Berdasarkan klip terbabit, van berkenaan dilihat dipandu laju ketika keluar dari satu persimpangan sebelum terbabas dan melanggar tembok di tepi jalan.

BACA LAGI: Penyertaan BRICS: Pembangkang minta kerajaan waspada matlamat politik blok perjanjian ekonomi baharu

BACA LAGI: Status kerusi tradisi tak beri jaminan, skrip Sungai Bakap berpotensi berulang di Nenggiri

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, sebelum kejadian, sepasukan polis trafik telah membuat Ops Perdagangan di lebuh raya tersebut pada jam 8 pagi.

Ketika operasi tersebut, beliau berkata, anggotanya mendapati sebuah van dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menahannya.

Bagaimanapun menurutnya, pemandu van enggan mematuhi arahan sebelum lalu memecut laju dan cuba melarikan diri.

"Anggota polis mengejar kenderaan itu hingga ke Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas dan terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar hadapan van apabila suspek cuba melanggar anggota polis sebelum kenderaannya terbabas di bahu jalan.

"Susulan daripada itu, kita menahan pemandu van iaitu lelaki warga tempatan berusia 36 tahun di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

photo1720605163

Suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian.

Kamarul berkata, insiden tersebut turut mengakibatkan kemalangan melibatkan kenderaan lain yang diparkir di tepi jalan.

Ujarnya, dalam kejadian berkenaan, polis telah mengejar kenderaan terbabit sejauh lima kilometer.

Pada masa sama, Kamarul memaklumkan siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

Katanya, ujian saringan air kencing dilakukan turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek juga mempunyai rekod dikehendaki bersabit dengan kes Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya pada tahun 2023 di daerah Barat Daya," jelas beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram