SEORANG penghantar tong gas berdepan nasib malang selepas terlibat dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan yang memotong secara berbahaya dalam kejadian di Jalan Kulim, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Isnin.
Impak daripada kemalangan tersebut, mangsa yang sedang menunggang motosikal terjatuh di atas jalan, manakala beberapa muatan tong gas yang dibawanya turut bergolek di laluan bertentangan lalu terkena sebuah kereta peronda polis.
Kejadian tersebut turut dirakam menerusi kamera papan pemuka kenderaan yang berada di lokasi kejadian sebelum mula tular pada Selasa.
Berdasarkan klip tersebut, kereta terbabit dilihat lewat memberikan lampu signal untuk menukar laluan ke lorong kanan sebelum melanggar motosikal mangsa.
Pada masa sama, turut kelihatan orang awam memberi bantuan kepada mangsa dengan meletakkan tong gas tersebut ke tempat yang lebih selamat.
Pemandu yang kemudian dilihat keluar daripada keretanya berjalan menuju ke arah mangsa dan cuba memberikan penjelasan terhadap saksi lain yang turut berada di lokasi kejadian.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak polis berhubung insiden itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram