"ALHAMDULILLAH, ALLAH sudah bagi kami jawapan. Kita bukan kehilangan tapi kita memulangkan. Terima kasih jadi suami serta ayah yang baik untuk saya dan anak-anak".
Itulah luahan pilu kepada isteri Muhammad Syafiq Salehin yang mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit dekat Felda Sungai Kelamah, Gemas dekat Tampin, Negeri Sembilan pada 29 April lalu.
Menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin, isteri mangsa, Eija Aziz meminta orang ramai untuk mendoakan arwah suaminya.
BACA LAGI : [VIDEO] Lelaki hilang 26 tahun rupanya diculik jiran, dakwa kena sihir sampai tak boleh bercakap
BACA LAGI : VIDEO] Lelaki mengucap terlanggar Pak Belang melintas di LPT
"Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
"Ramai yang menanti keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) abang. Ya, rangka itu milik suami saya. Mohon sedekahkan al-Fatihah untuk arwah suami.
"Doakan saya dan anak untuk kuat menempuhi ujian ini. Terima kasih atas doa semua," katanya.
Terdahulu, polis mengesahkan rangka yang ditemui di ladang kelapa sawit milik Muhammad Syafiq yang dilaporkan hilang pada Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, ia hasil laporan DNA yang dijalankan ke atas rangka yang ditemui.
"Polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan rangka manusia bersama sebuah motosikal dekat sebuah ladang kelapa sawit Felda Sungai Kelemah, pukul 2.50 petang 29 April lalu.
"Turut ditemui tali pinggang dan topi keledar. Rangka dihantar ke Bilik Mayat Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan ujian DNA," katanya pada Isnin.
Tambah beliau lagi, kes disiasat sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Pada 29 April lalu, media melaporkan, rangka manusia daripada pinggul hingga kaki ditemui di dalam parit kering dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 warna biru.
Amiruddien dilaporkan berkata, Muhamad Syafiq yang menetapkan di Kampung Paya Lebar, Air Kuning Selatan disedari hilang oleh isterinya sebelum membuat laporan kehilangan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram