SEBUAH bom mortar 60 milimeter (mm) ditemukan di sebuah kediaman rumah sewa di Taman Bukit Tembakau, Merlimau, Jasin, Melaka pada Sabtu.
Penemuan itu dilaporkan pemilik rumah tersebut yang mendakwa ia merupakan peninggalan bekas penyewa yang difahamkan sudah berpindah keluar pada Januari lalu.
Menurut laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan itu pukul 7.58 malam selepas pemilik kediaman berusia 65 tahun itu memaklumkan jirannya menjumpai bom ketika membantu mengemas premis berkenaan.
BACA LAGI: Bangunan Motac terima ancaman bom, kakitangan diarah kosongkan bangunan
BACA LAGI: [VIDEO] Misteri kereta tersadai tepi semak di Pontian, rupanya ada mayat di kerusi tempat duduk
"Makluman awal telah di maklumkan kepada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Jasin, Pegawai Penyiasat jenayah dan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk mengambil tindakan.
"Pada pukul 8.45 malam, cawangan UPB IPK telah mengesahkan objek berkenaan adalah jenis mortar 60mm 'practice inert' yang digunakan untuk latihan, ukuran panjang 300 mm dan diameter 60 mm serta disahkan tiada mengandungi bahan letupan," katanya pada Isnin.
Tambahnya, berdasarkan keterangan dibuat pemilik rumah, kediaman teres satu tingkat itu sebelum ini telah disewakan kepada seorang penyewa lelaki sejak 2022 sehingga individu terbabit berpindah keluar pada Januari lalu.
"Selepas dia berpindah keluar pemilik rumah tidak lagi berhubung dengannya dan rumah itu tidak berpenghuni selama tujuh bulan.
"Pemilik kemudiannya telah meminta jirannya berusia 30-an membantu mengemas barangan peribadi milik bekas penyewa yang ditinggalkan di dalam rumah tersebut pada Sabtu lalu dan ketika itulah objek tersebut dijumpai," ujarnya.
Ahmad Jamil berkata, bom tersebut telah diambil oleh pasukan UPB dan dibawa ke IPK Melaka untuk tindakan pelupusan dan pihak polis kini sedang mengesan bekas penyewa terbabit bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram