[VIDEO] Beredar lepas Axia terperosok bawah treler: Polis Kuala Muda rakam keterangan pemandu Alza, Vios


  • 112
  • Isnin, 08 Jul 2024

Foto dikongsikan (gambar kiri) memaparkan lelaki dipercayai pemandu Alza terlibat kemalangan itu dilihat membawa sebuah kotak keluar daripada kenderaannya.

POLIS sudah selesai mengambil keterangan ketiga-tiga pemandu terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori treler bersama dua kereta lain iaitu Perodua Alza, Perodua Axia di Kilometer 88.5 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Gurun, Kedah pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, keterangan direkodkan itu termasuk daripada pemandu Perodua Alza yang terbabit dalam insiden berkenaan.

"Setakat ni semua yang terlibat kemalangan telah diambil keterangan iaitu ketiga-tiga kenderaan yang terlibat kemalangan.

"⁠Tiada tangkapan dibuat setakat ini," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Jangan kerana tewas PRK Sungai Bakap, Kerajaan Perpaduan tarik 'handbrake' laksana dasar ekonomi tak popular

BACA LAGI: Kemasukan matrikulasi: Penekanan berlebihan terhadap meritokrasi berpotensi tingkat jurang sosioekonomi

Insiden kemalangan negeri yang hampir meragut nyawa itu tular selepas ia dirakam oleh kamera papan pemuka kenderaan yang berada di lokasi.

Menerusi klip itu, treler terbabit yang berada di lorong kiri dilihat cuba mengelak sebuah kereta yang cuba memotong di depannya.

Bagaimanapun, pada masa sama, terdapat sebuah Perodua Alza yang sedang memotong di laluan kecemasan menyebabkan kedua-duanya bergesel.

Ekoran daripada itu, kenderaan berat berkenaan terbabas dan melintang sehingga ke lorong kanan yang ketika itu sedang dilalui oleh sebuah Perodua Axia yang kemudiannya terperosok di bawah treler terbabit.

Kesemua mangsa bagaimanapun terselamat dengan pemandu Perodua Axia itu hanya mengalami luka di kepala dan tangan.

Mengulas lanjut, Wan Azharuddin berkata, siasatan pihak polis turut melibatkan kenderaan dipercayai jenis Toyota Vios yang didapati mencelah di hadapan treler terbabit ketika kejadian.

"Butiran pemilik kenderaan telah diperolehi, akan di panggil untuk bantu siasatan," ujarnya.

Menurutnya, siasatan bagi kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, turut tular di media sosial mendakwa pemandu Alza berkenaan yang sedang dicari kerana menjadi punca kemalangan terbabit bertindak melarikan diri daripada lokasi kejadian dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Pada masa sama, hantaran berkenaan turut mendakwa pemandu Alza berkenaan membawa barangan dipercayai bahan terlarang ketika kejadian.

Malah, hantaran itu turut berkongsikan foto memaparkan pemandu berkenaan yang dilihat membawa kotak

Mengulas mengenai dakwaan tersebut, Wan Azharuddin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

"Isu ini pun pihak JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) Kuala Muda tengah follow up kes ini," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kemalangan, treler, Alza, Axia, kemalangan ngeri, Gurun