[VIDEO] Penunggang 'superbike' maut, polis tahan pemandu Viva tukar laluan tiba-tiba


  • 112
  • Ahad, 07 Jul 2024

Tangkap layar video kemalangan maut di Jalan Yahya Aldatar, Johor Bahru, Johor, pada Sabtu.

POLIS menahan pemandu Perodua Viva yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal berkuasa tinggi di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian sekitar pukul 4.05 petang itu, Perodua Viva terbabit yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 40-an dilaporkan dalam perjalanan dari arah Skudai ke Permas Jaya.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, pemandu terbabit telah mengubah haluan dari lorong kanan ke kiri yang menyebabkan motosikal dinaiki mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian depan kiri kereta terbabit.

BACA LAGI: Mansor Puteh parah di kepala, maut kereta terbabas sendiri langgar pembahagi jalan di Alam Damai

BACA LAGI: Rumah tidak lagi sesuai tinggal bersama famili, kami perlu teruskan hidup — anak Allahyarham biduanita Sharifah Aini

“Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa tercampak pada bahu kiri jalan mnakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Raub berkata, akibat insiden terbabit, mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 20-an merupakan juruteknik mesin di Singapura parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu kereta bebas daripada sebarang jenis dadah.

Raub berkata, polis membuka kertas siasatan di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

Katanya, pemandu ditahan yang bekerja sebagai penghantar barangan turut direman empat hari.

Terdahulu, tular video memaparkan kemalangan terbabit memaparkan Perodua Viva terbabit secara tiba-tiba menukar laluan sehingga menyebabkan kemalangan bersama sebuah motosikal berkuasa tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram