Perangkap monyet disangka jajan, 2 beradik kritikal termakan keropok campur racun tikus di Kulim


  • 112
  • Isnin, 08 Jul 2024

Keropok berkenaan dipercayai digunakan pekebun kampung sebagai perangkap monyet dan digantung pada dawai besi di sekeliling pagar kawasan kebun.

DUA beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun kritikal selepas termakan keropok mengandungi racun tikus di kawasan kebun dekat Kampung Padang Ubi Labu Besar, Kulim, Kedah pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, keropok berkenaan dipercayai digunakan pekebun kampung sebagai perangkap monyet dan digantung pada dawai besi di sekeliling pagar kawasan kebun terbabit.

Ujarnya, ibu kepada kedua-dua budak lelaki itu menyedari mengenai perkara tersebut sekitar pukul 11 pagi selepas kedua-duanya mengalami muntah-muntah dan mulut berbuih.

BACA LAGI: Kemasukan matrikulasi: Penekanan berlebihan terhadap meritokrasi berpotensi tingkat jurang sosioekonomi

BACA LAGI: Aktivis politik kena panggil polis dan MCMC, Tian Chua kritik kebebasan bersuara makin terancam sekarang

"Pada lebih kurang pukul 11.30 pagi, ibu mereka terus membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan ke Hospital Kulim untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan.

photo1720415762

Keropok berkenaan yang mengandungi racun tikus digantung di tepi pagar dawai besi sebagai alat perangkap monyet.

Mohd Azizul berkata, hasil pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Kulim mendapati kedua-dua mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Ekoran daripada itu, beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lanjut pada pukul 7.30 malam hari kejadian.

Mohd Azizul berkata, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta 611 dan Seksyen Sek 284 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram