Tak sedar buat dosa kering ketika sembelih korban, ketahui larangan elak haiwan sakit walau dah putus urat


  • Mukmin
  • Rabu, 19 Jun 2024

Umat Islam perlulah mendalami ilmu sembelihan agar dibuat dengan sempurna mengikut syarak.

MENJELANG Hari Raya Aidiladha, umat Islam pastinya mahu meningkatkan ketaatan kepada ALLAH SWT dengan melakukan ibadah korban.

Ibadah korban merupakan satu ibadah yang disunatkan kepada umat Islam untuk dibuat pada bulan Zulhijah iaitu pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijah.

Antara topik penting yang wajib didalami umat Islam adalah ilmu penyembelihan agar haiwan dapat disembelih dengan sempurna dan halal.

BACA LAGI: 'Tuhan tak ampun dosa', mufti harap umat Islam tak buat jenaka buhul sihir, amalan khurafat

BACA LAGI: Boleh jadi haram, tukang lapah tak ada hak ambil daging tanpa izin pemilik

Daging korban perlu dikendalikan dengan betul untuk mengelakkan keracunan makanan. -Gambar hiasan

Sembelihan perlulah dibuat mengikut ajaran Islam sebelum dibahagikan kepada orang ramai.

Ini kerana, kekurangan kepakaran dalam penyembelihan boleh menjadikan binatang sembelihan diragui kerana tidak mengikut kehendak di sisi syarak.

Bercakap soal itu, Yang Dipertua Persatuan Penyembelih Ternakan Halal Malaysia, Abd Halim Zakaria berkata, ada sebahagian umat Islam tidak menyedari mereka melakukan dosa sewaktu menyembelih haiwan.

"Dosa sebegini kita katakan sebagai dosa kering kerana dosa yang tidak nampak," katanya menerusi TikTok.

Abd Halim berkata, antara perkara yang sering dibuat adalah dengan mencuba untuk menghiris kulit lembu beberapa kali meskipun urat binatang penyembelihan sudah putus.

"Urat dah putus tetapi tetap sorong banyak kali lagi. Nampak tak? Kalau sekali tarik dan putus empat urat turunkan sahaja pisau.

"Sebab apabila kita tetap menghiris bermakna kita akan menghiris di tempat yang tidak sepatutnya dihiris," katanya.

korban 1

Umat Islam perlulah menggunakan pisau yang tajam sewaktu hendak menyembelih binatang.

Dengan berbuat sedemikian, ia akan menyebabkan haiwan mengalami berasa kesakitan dan cedera.

"Kerana haiwan itu akan rasa sakit berulang kali, orang yang buat pun dapat dosa berulang kali," katanya.

Selain itu, antara perkara yang sering dibuat adalah apabila seseorang tetap mencuba untuk memotong kulit lebihan di leher lembu meskipun anggota penyembelihan sudah diputuskan.

"Ia (haiwan) punya kulit bawahan gulung. Bila kita gulung kita terus potong kulit itu," katanya.

Tidak hanya itu, Abd Halim berkata, seseorang perlulah menggunakan pisau yang tajam sewaktu hendak menyembelih binatang.

Hal ini kerana, pisau yang tumpul akan menyeksa binatang yang disembelih kerana susah memutuskan urat marihnya.

"Umat Islam perlulah berlaku ihsan sewaktu menjalankan ibadah korban terhadap sesuatu haiwan," katanya.

Perkara ini juga telah ditekankan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Sabda Rasulullah S.A.W:

Sesungguhnya ALLAH mewajibkan berbuat ihsan (baik) dalam segala hal. Jika kalian membunuh maka bunuhlah dengan ihsan, jika kalian menyembelih, sembelihlah dengan ihsan. Hendaknya kalian mempertajam pisaunya dan menyenangkan sembelihannya.” [HR.Muslim]. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram