[VIDEO] Tiga cedera, seorang hampir putus kaki diserang ikan jerung di Texas


  • Benua
  • Jumaat, 05 Jul 2024

Empat cedera selepas diserang ikan jerung ketika berenang di kawasan tumpuan pelancong di pantai Pulau Padre Selatan dekat Texas pada Khamis. — Agensi

EMPAT cedera selepas diserang ikan jerung ketika berenang di kawasan tumpuan pelancong di pantai Pulau Padre Selatan dekat Texas, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.

Memetik laporan media ABC Weslaco, Game Warden Texas, Kapten Chris Dowdy berkata, insiden berasingan itu melibatkan jerung yang sama telah dilaporkan di kawasan tersebut.

Dalam kejadian pertama, Jabatan Polis Pulau Padre Selatan dilaporkan telah menerima panggilan kecemasan seorang mangsa lelaki cedera parah selepas dia digigit di kaki pada pukul 11 pagi Khamis berhampiran teluk 4100 Boulevard.

BACA LAGI: [VIDEO] Padah bermulut puaka, enggan bayar hutang lelaki maut dibakar rakan di Kemboja

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan potong ayam, penduduk kampung di Indonesia kaget rupanya ‘kawan makan kawan’

Mangsa telah diberi rawatan awal oleh pihak bomba dan polis di tempat kejadian sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Wilayah Valley di Brownsville untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Rakaman kejadian itu juga tular di laman media sosial dan melalui video yang dikongsikan, kelihatan haiwan pemangsa tersebut berenang-renang di kawasan kejadian.

Dalam kejadian berasingan, tiga lagi mangsa turut cedera diserang ikan jerung tersebut di badan.

Ketiga-tiga mangsa turut dibawa ke Pusat Perubatan Wilayah Valley untuk mendapatkan rawatan.

Susulan daripada kejadian itu, Peronda Pantai Pulau Padre Selatan bersama-sama dengan jabatan bomba dan polis giat membuat rondaan di pinggir pantai dan menggunakan dron bagi mengelakkan kejadian berulang berlaku.

Pihak berkuasa tempatan dalam satu kenyataan berkata, serangan ikan jerung itu tidak seharusnya berlaku.

"Apabila ikan tersebut menyerang manusia, ia berkemungkinan tersilap menganggap mangsa sebagai makanan.

"Kami turut menasihati pengunjung untuk lebih berhati-hati ketika beriadah di kawasan pantai," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram