POLIS mengesahkan menerima laporan berkaitan kes seorang lelaki disyaki memukul seekor anjing di balkoni sebuah apartmen di Pekan Batu 9, Cheras, Kuala Lumpur pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 12.47 tengah malam, berkaitan video tular yang memaparkan lelaki berkenaan memukul haiwan peliharaannya dengan menggunakan tangan.
"Kes itu telah diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
BACA LAGI: [VIDEO] Sempat hadir kenduri kahwin sebelum satu keluarga hanyut dibawa arus sungai di India
BACA LAGI: 'Aneh dan kebetulan', calon penaja utama Kedah hairan 'diserbu' Kastam, LHDN berturut-turut
Naazron berkata, masyarakat dinasihatkan supaya tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedia ada termasuk perbuatan penganiayaan terhadap haiwan atau mana-mana binatang peliharaan.
"Jika disabit dengan kesalahan boleh dihukum di bawah peruntukan Akta Kebajikan Haiwan 2015," tegasnya.
Terdahulu, tular di media sosial yang mencetuskan kemarahan ramai apabila seorang lelaki didakwa pemain badminton remaja kebangsaan memukul anjing peliharaannya dengan ganas dan tidak menampilkan sifat perikemanusiaan.
Perbuatannya sempat dirakam saksi yang kemudian memuat naik video berkenaan dan merayu agar haiwan malang itu segera diselamatkan.
Susulan kejadian, aktivis haiwan, Shima Aris tampil ke lokasi dan berjaya memujuk lelaki itu menyerahkan anjing terbabit untuk dibawa ke lokasi yang lebih selamat. — The Star/JUSTIN ZACK
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram