
KEKALAHAN Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang harus dijadikan pengajaran penting buat kerajaan pada ketika ini.
Manakan tidak, 'ayam tambatan' calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail berjaya menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin dengan mudah.
Abidin yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menang dengan majoriti 4,267 undi sekali gus membolehkan beliau meneruskan legasi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit, Allahyarham Nor Zamri Latiff.
BACA LAGI : PN lakar kemenangan lebih besar pertahan kerusi DUN Sungai Bakap
BACA LAGI : Kerajaan MADANI insafi keputusan PRK Sungai Bakap — PM Anwar
Susulan daripada kemenangannya itu, ia turut memberi gambaran sebenar tentang peralihan rakyat dalam kancah politik pada ketika ini apabila ramai pengundi yang sudah mula menggunakan undi mereka untuk memilih wakil rakyat yang dirasakan boleh menjalankan tugas dengan baik.
Hasil tinjauan Majoriti di laman media sosial, kemenangan Abidin yang lebih mesra dipanggil Abang Bidin dalam kalangan penduduk Sungai Bakap itu adalah satu 'amaran' buat kerajaan Perpaduan pada ketika ini.
Situasi ini juga menunjukkan tanda awal ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan.
Seorang pengguna media sosial, Safiq Ramadan Ramadan berpendapat, kemenangan calon PAS tersebut sememangnya sudah dijangka dengan melihat situasi semasa.
"Akibat 'formula' yang tak mesra rakyat perkara ini sudah dijangkakan. Ini sebenarnya dari awal akibat ketidakpuasan hati rakyat.
"Kalau parti kerajaan masih kalah lagi dalam PRK, kerajaan seharusnya mengubah dan membuat kajian dengan apa yang sebenarnya terjadi.
"Hal ini kerana, rakyat sudah mempertaruhkan undi mereka sebelum ini dan percaya kepakaran serta perubahan ekonomi yang akan dilakukan," katanya.
Kemenangan calon PAS di PRK Sungai Bakap sememangnya sudah dijangka dengan melihat situasi semasa.
Mohd Ibrahim pula berkata, kekalahan PH di Dun Sungai Bakap itu merupakan petunjuk rakyat sudah muak dengan janji kerajaan sebelum ini.
"Perkara ini mudah sahaja, jangan berjanji sekiranya tak dapat tunaikan. Yang berjanji sebelum pilihan raya kerajaan (PH) dan dapat mandat selepas pilihan raya pun kerajaan.
"Akhirnya apa yang dijanjikan tak terbuat, anda (kerajaan) akan terima kesan dan impak. Janji tinggal janji.
"Jadi kalau masih lagi dalam keadaan selesa dan bongkak bila boleh bercakap dan tidak sewaktu dulu, ini adalah waktu pembangkang. Sebagai balasan, jangan selesa sangat," tulisnya.
Sementara itu seorang lagi warganet, Idris Jalani berkata, pengundi di Sungai Bakap menolak kerajaan PH kerana parti tersebut tidak matang.
"Menteri-menteri PH sebelum ini pernah berkata sekiranya (rakyat) mengundi Joohari, (pasti) akan senang menerima peruntukan.
"Rakyat mahukan politik yang matang dan sejahtera, bukan politik balas dendam. Selesaikan masalah rakyat bukan cari salah dan tangkap musuh politik.
"Teruskanlah perangai seperti ini wahai kerajaan PH. Politik menganaktirikan negeri dan kawasan pembangkang dari sudut pembangunan dan peruntukan kewangan," tulisnya.
Ramai pengundi yang sudah mula menggunakan undi mereka untuk memilih wakil rakyat yang dirasakan boleh menjalankan tugas dengan baik.
Untuk rekod, kemenangan Abidin sekali gus menyaksikan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) gagal untuk merampas kembali kerusi kawasan yang pernah dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama tiga penggal bermula 2008.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 39,222 orang daripada 39,279 pengundi berdaftar layak mengundi manakala 57 orang terdiri daripada anggota polis telah mengundi secara pos yang menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka untuk PRK itu walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lalu.
Sebanyak sembilan pusat pengundian melibatkan 65 tempat mengundi atau saluran dibuka sejak pukul 8 pagi, Sabtu.
Peratusan keluar mengundi yang dicatatkan sehingga pusat pengundian ditutup pukul 6 petang merekodkan 63.45 peratus dan 208 kertas undi ditolak.
Mengikut komposisi kaum, pengundi Melayu terdiri daripada 59 peratus, diikuti Cina 22.5 peratus, India 17.4 peratus dan bangsa-bangsa lain satu peratus.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram