KERAJAAN akan melaksanakan usaha bagi mengenal pasti pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat di program matrikulasi atau institusi pengajian tinggi (IPT).
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, ia akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyaring jumlah pelajar yang mendapat 10A dan sudah membuat permohonan program matrikulasi atau program lain melalui UPUOnline oleh Bahagian Kemasukan Pelajar institusi pengajian tinggi awam (BKPA).
“Ini bagi membolehkan mereka yang tidak ditawarkan tempat diselaraskan semula berdasarkan pilihan program mereka,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
BACA LAGI: Sijil ISO, siap Ketua Menteri mohon maaf, 3 isu hangatkan kempen PRK Sungai Bakap
BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan
KPM juga berkata, tawaran tempat dan bidang pengajian adalah bergantung kepada kelayakan calon dan kekosongan program matrikulasi sementara KPT akan menumpukan kepada kemasukan ke program asasi dan diploma di universiti awam.
“Keputusan ini dibuat bagi memastikan pelajar cemerlang SPM dan mereka daripada keluarga B40 berpeluang menyambung pelajaran.
“Pada masa yang sama, sistem kuota Bumiputera sedia ada untuk program matrikulasi masih tidak terjejas,” katanya.
Kenyataan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru yang menyatakan semua pelajar SPM mendapat 10A dan ke atas dijamin mendapat tempat dalam program matrikulasi bermula pada tahun ini tanpa mengira latar belakang.
Pada 30 Jun lalu, Anwar berkata, keputusan berani itu dibuat bagi memastikan semua pelajar cemerlang SPM mendapat peluang terbaik untuk meneruskan pengajian.
"Jika anak-anak kita mendapat 10A dan ke atas atau mendapat keputusan cemerlang, tanpa terkecuali mereka akan mendapat tempat. Ini jaminan kerajaan," katanya ketika berucap pada penutup Minggu Latihan Kebangsaan 2024 di Bukit Jalil.
Tambahnya, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Kabinet pada 28 Jun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram