[VIDEO] Didakwa tak beri sumbangan buat Selangor FC, Altimet tampil perjelas kaedah bayaran royalti


  • Primer
  • Khamis, 04 Jul 2024

Altimet merupakan salah seorang yang cukup lantang selepas MFL mengenakan denda dan hukuman ke atas skuad Gergasi Merah.

GERAKAN Tabung Solidariti bersama Selangor FC yang dilancarkan penghujung Jun lalu mendapat sambutan cukup hangat apabila lebih RM75,000 secara keseluruhan berjaya dikumpul.

Sumbangan yang diberikan untuk meringankan beban pasukan selepas didenda Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu pada awalnya menimbulkan persoalan kerana dikhuatiri tidak meraih sokongan diharapkan.

Bagaimanapun, selepas dilancarkan pada 29 Jun lalu, sokongan tidak henti diberikan penyokong sehingga menyaksikan jumlah wang terkumpul melebihi denda dikenakan terhadap skuad Gergasi Merah.

BACA LAGI: Tabung solidariti bersama Selangor FC cecah hampir RM80,000

BACA LAGI: RM40,000 kutipan tabung solidariti diserah kepada Selangor FC — Exco

Malah, ribuan dana turut diberikan ahli politik berpangkalan di Selangor yang tidak mahu ketinggalan membuktikan solidariti mereka terhadap pasukan Lembah Klang berkenaan selepas mereka dihukum atas sebab sukar diterima.

Antara yang berbuat demikian ialan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan ADUN Kajang, Cheong Kian Young seperti mana diumumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari ketika menyampaikan dana terkumpul pada Rabu.

Namun, timbul persoalan apabila terdapat sebahagian ahli politik yang sebelum ini berminat untuk memberikan bantuan, tetapi nama masing-masing tidak disebut ketika majlis penyerahan itu.

ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet merupakan salah seorang yang berada dalam kelompok berkenaan selepas pernah meluahkan hasrat untuk menyerahkan separuh daripada kutipan royalti harta intelek untuk membiayai denda MFL itu.

449439649_993554856109576_7958004328851404938_n

Wang yang terkumpul daripada sumbangan diserahkan kepada skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Jadi, dengan namanya tidak berada dalam senarai penyumbang, orang ramai termasuk pengguna X, Ismael Wong beranggapan kenyataan itu tidak lebih daripada satu kata-kata politik.

Bagaimanapun, Altimet enggan berdiam diri apabila tampil memberikan jawapan terhadap dakwaan terbabit dengan menegaskan royalti artis tempatan akan diberikan pada tarikh ditetapkan.

"Tenang, Ismael. Lazimnya royalti MACP (Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia) diagihkan hujung bulan Julai dan Disember.

"Jumlah naik turun. Apabila sudah dimasukkan, boleh tentukan separuh itu berapa sebenarnya. Akan diterima e-mel sebagai pemakluman," katanya sambil menyertakan tangkap layar daripada e-mel peribadinya.

WhatsApp Image 2024-07-04 at 16.49.22

Altimet berminat untuk memberikan bantuan kewangan buat Selangor FC sebelum ini.

Altimet yang merupakan anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor merupakan salah seorang individu yang lantang bersuara sepanjang konflik hukuman MFL terhadap skuad Gergasi Merah.

Selain mempersoalkan kewarasan denda diberikan, ADUN Lembah Jaya itu merupakan yang terawal meluahkan hasrat membantu pasukan Liga Super itu dari segi kewangan.

Selangor FC pada Jun dikenakan denda oleh MFL berikutan keputusan menarik diri daripada beraksi dalam Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bagaimanapun, desakan orang ramai serta Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyaksikan hukuman dialami kelab tersebut diringankan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram