'Kita lawan perosak bola sepak', dari ADUN ke fans kelab Liga Super semua bersatu demi Selangor


  • Podium
  • Rabu, 26 Jun 2024

Selangor dipotong tiga mata selepas gagal hadir ke aksi Piala Sumbangsih di SSI. — Facebook/SelangorFC

KEGEMBIRAAN Selangor FC yang kini berada di kedudukan teratas liga dirampas apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bertindak untuk memotong tiga mata sebagai hukuman gagal menghadirkan diri ke perlawanan Piala Sumbangsih pada awal musim 2024/2025.

Selangor turut menerima hukuman denda serta perlu beraksi tanpa kehadiran penyokong di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada pusingan kedua Liga Super nanti.

Derita Gergasi Merah bertambah apabila MFL mengambil keputusan mendenda Selangor sebanyak RM100,000, selain perlu dihukum perlu membayar ganti rugi kepada skuad Harimau Selatan.

BACA LAGI: Umum Piala Sumbangsih batal, tapi JDT tetap dianggap juara

BACA LAGI: Tidak hadir Piala Sumbangsih: Selangor FC dipotong 3 mata, lawan JDT tanpa penonton di Stadium MBPJ

Empat hukuman yang disifatkan tidak masuk akal oleh sesetengah penyokong berkenaan jelas membangkitkan kemarahan peminat dengan melabel pihak pengelola bola sepak tanah air seperti tidak mempunyai belas kasihan terhadap Selangor.

Masakan tidak, keputusan pasukan Lembah Klang berkenaan untuk mengangkat bendera putih susulan pemain Selangor, Faisal Halim disimbah asid kurang seminggu daripada pertembungan itu.

Rentetan empat hukuman termasuk denda berbentuk hukuman wang ringgit berkenaan, banyak pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan penyokong pesaing Liga Super sudi ingin menghulurkan bantuan kepada Gergasi Merah.

Dua ADUN iaitu Izuan Kasim (Kota Damansara), Danial Al-Rashid (Batu Tiga) dan Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Lembah Jaya) atau dikenali sebagai Altimet sedia untuk membantu Selangor.

Izuan sedia untuk menyumbang separuh gajinya, Altimet ingin memberikan wang royalti diperolehnya tahun ini kepada Selangor dan Danial pula akan menganjurkan skrin besar buat penyokong ketika aksi Gergasi Merah menentang JDT nanti.

WhatsApp Image 2024-06-26 at 11.24.15

Tangkap latar Danial akan menganjurkan skrin besar buat penyokong.

Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi pula tampil mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan dan menyifatkan keputusan MFL sebagai tidak adil dan membelakangkan semangat kesukanan.

"Keputusan seharusnya dibuat dengan mengambil kira permohonan Selangor FC yang memohon penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih 2024 susulan insiden keganasan yang melibatkan Faisal Halim dan beberapa pemain lain.

"Saya telah berhubung dengan pihak pengurusan Selangor FC dan menggesa mereka agar mengemukakan bantahan terhadap keputusan ini," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, penyokong kelab Liga Super lain turut menunjukkan solidariti buat Selangor apabila ada di antara mereka ingin menderma bagi meringankan beban yang ditanggung Gergasi Merah.

"Aku penyokong Negeri Sembilan akan turun semua perlawanan Selangor di home nanti. Kita lawan perosak bola sepak ini," kata penyokong skuad Jang Hobin Jang, Noah Fitrie.

"Penyokong Kuala Lumpur pun kalau boleh nak derma juga. Semua satu hati lawan MFL," tambah penyokong skuad Warga Kota, Nurazhar Mohd Zin.

"Saya pun mahu derma sedikit jika ada tabung khas walaupun saya dari Pantai Timur," bagi penyokong Gergasi Merah, Alyamieyra.

Hukuman dikenakan terhadap pasukan bimbingan Nidzam Jamil itu tergelincir ke kedudukan kelima Liga Super dengan enam mata terkumpul setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram