MAJLIS Pelancaran Buku dan Forum Pemanasan Dunia di Petaling Jaya, Selangor bertukar kecoh apabila beberapa orang penunjuk perasaan bertindak melakukan protes membantah projek Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).
Kejadian yang berlaku pada Rabu itu turut disertai beberapa individu penting seperti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau dikenali sebagai Altimet dan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin.
Ketika itu, penunjuk perasaan berkenaan menaikkan dua poster besar dengan slogan 'Pembinaan PJD Link mengingkatkan pemanasan' semasa sesi pelancaran yang dirasmikan Amirudin.
BACA LAGI: Sudah beberapa tahun berlalu, isu PJD Link masih menggusarkan warga Petaling Jaya
Tangkap layar video memaparkan pertengkaran kecil yang berlaku antara David dan pihak penganjur majlis ketika itu.
Pada masa sama, berlaku juga pertengkaran kecil antara penunjuk perasaan dengan pihak penganjur kerana dikatakan tidak menghormati majlis rasmi.
Salah seorang daripada penunjuk perasaan iaitu, Pengerusi Residents Against PJD Link (ScRAP), David Yoong menjelaskan bahawa tindakan itu adalah untuk mendapatkan perhatian Amirudin.
Hal ini kerana, Amirudin pada 31 Julai 2023, beliau ada mengumumkan tentang keputusan untuk membatalkan projek tersebut kerana memberi kesan kepada kualiti kehidupan masyarakat Petaling Jaya.
BACA LAGI: Penduduk Segambut geram projek naik taraf jalan lambat siap
Amirudin (empat dari kanan) ketika merasmikan majlis.
Namun, menurut David, sehingga kini tiada tindakan lanjut yang diambil oleh pihak kerajaan negeri walaupun terdapat banyak aduan dan rayuan termasuk memorandum dihantar kepada pejabat Menteri Besar sejak Mac 2022.
"Kami harap kerajaan Selangor mengekalkan keputusan untuk membatalkan lebuh raya yang dibuat semasa tempoh pilihan raya tahun lepas (2023).
“Petaling Jaya sepatutnya menjadi bandar rendah karbon tetapi lebuh raya bertingkat akan merosakkan dan memusnahkan alam sekitar serta mewujudkan pulau haba bandar di bawah lebuh raya," katanya ketika ditemui pemberita di PJ Live Arts Theatre, The Square @Jaya One, Petaling Jaya pada Rabu.
David kemudiannya sempat meminta maaf atas perbuatan tersebut kerana terpaksa menyuarakan perkara itu demi keselamatan penduduk di Petaling Jaya.
Amirudin bagaimanapun dilihat tidak terganggu dan tetap meneruskan perasmian serta enggan mengulas lanjut berhubung kejadian pada waktu itu.
Untuk rekod, PJD Link pada awalnya diluluskan oleh Kabinet pada November 2017 manakala diluluskan oleh kerajaan negeri pula pada September 2020 namun, ramai penduduk yang mempertikaikan perkara itu sehingga timbulnya isu berbangkit itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram