Kerajaan sedia RM2.6 bilion jamin kelangsungan industri agromakanan negara lebih mandiri


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan demi membantu pendapatan pesawah. — Gambar hiasan

Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion menerusi Belanjawan 2024 bagi penyaluran pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada pesawah dan nelayan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha bagi memperhebat usaha menjamin kelangsungan industri agromakanan negara lebih mandiri.

Beliau berkata, jumlah peruntukan itu meningkat RM600 juta berbanding tahun ini dan ia selaras dengan keputusan Kerajaan menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 kepada RM500 per metrik tan.

"Saya mendengar rungutan pesawah padi apabila harga belian oleh pengilang diturunkan kepada tahap minimum RM1,200 per metrik tan sedangkan sebelum ini harga belian oleh pengilang jauh lebih tinggi.

"Kerajaan telah menetapkan harga lantai pada RM1,200 sejak tahun 2014 lagi.

"Sukacita diumumkan Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan demi membantu pendapatan pesawah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

Sementara itu, Anwar berkata, Kerajaan bersetuju meningkatkan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma daripada RM40 juta kepada RM50 juta dan ia antara lain bakal dapat meluaskan kawasan penanaman padi bukit daripada 43,000 hektar.

Dalam pada itu, Anwar berkata, untuk tahun hadapan, kerajaan menyediakan RM 400 juta bagi melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan.

Ia meliputi tumpuan khusus meningkatkan pengeluaran tanaman makanan tempatan yang masih bergantung dengan import luar.

"Antaranya, RM150 juta untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengoptimum penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil tanaman dan ternakan.

"RM50 juta bagi melaksanakan kaedah baharu perolehan baja secara tender terbuka untuk memberi pesawah pilihan baja yang ingin digunakan.

"Projek ini akan dilaksanakan secara rintis di 90,000 hektar kawasan antaranya di Perak, Selangor, Terengganu dan Pulau Pinang," ujarnya.

Menurut Anwar, kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta untuk membekalkan 50,000 pesawah dengan baja bio dan organik bagi meningkatkan kesuburan tanah.

Bagi menyokong peningkatan kapasiti pengeluaran produk pertanian dan daya saing agroprenuer muda, beliau berkata, Agrobank menyediakan kemudahan pinjaman kepada pengusaha agromakanan dengan ketersediaan dana sehingga RM430 juta.

Dalam pada itu, untuk memberikan perlindungan terhadap petani, penternak dan nelayan yang berdepan dengan musibah bencana, Anwar berkata, sebanyak RM50 juta disediakan di bawah Tabung Bencana Pertanian bagi memberi pampasan sehingga 50 peratus daripada nilai kerugian akibat bencana.

"RM50 juta turut disediakan sebagai dana permulaan di bawah Skim Takaful Tanaman Padi untuk manfaat lebih 240,000 pesawah," jelasnya.

Belanjawan 2024 memperuntukkan sejumlah RM 393.8 bilion dengan RM 303.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus manakala RM 90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Belanjawan kali ini mengandungi perancangan dan komitmen kerajaan bagi hala tuju negara pada tahun depan mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Ia merupakan belanjawan kedua di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang menjadi induk kepada dasar-dasar diluncurkan iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12).

Tiga tumpuan utama Belanjawan 2024 adalah tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram