'Jem' talian MERS999 buat hal, saksi kemalangan kongsi kelemahan sistem kecemasan negara


  • Massa
  • Khamis, 04 Jul 2024

Tangkap layar kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal dan sebuah treler di Shah Alam, Selangor pada Selasa.

SATU kemalangan maut dilaporkan berlaku membabitkan seorang penunggang motosikal yang berlanggar dengan sebuah treler berhampiran Kolej MSU, Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Kejadian menyayat hati itu meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja buat isteri mangsa, malah seluruh masyarakat negara turut bersedih dengan insiden berkenaan.

Situasi itu dimuat naik saksi yang juga merupakan seorang pelawak terkenal, Nizam Jenik Jentik menerusi ciapan di laman Facebook.

Jelasnya, dia amat terkedu apabila menyaksikan sendiri kematian mangsa yang dipercayai baru selesai menghantar anak ke sekolah.

BACA LAGI: [VIDEO] Saksi kemalangan terkedu dapat panggilan 'My Lovely Wife', menitik air mata kena sampaikan berita mangsa maut rempuh treler di Shah Alam

BACA LAGI: [VIDEO] Tak lepas memotong, penunggang superbike putus badan kena gilis treler di Pulau Pinang

Kemalangan dikatakan berlaku ketika lori treler tersebut sedang membelok di selekoh laluan berkenaan sebelum mangsa dari arah belakang, gagal menekan brek dan merempuh belakang lori tersebut.

Dalam pada itu, ruangan komen Facebook dihujani kecaman warganet yang mempertikai talian kecemasan negara.

Jelas Ahmad Abdul Qawiy Muhammad, prosedur SOP panggilan kecemasan 999 disifatkan terlampau rumit dan menyukarkan pesakit untuk menerima bantuan ambulans.

"Saya pun tak tahu apa SOP kalau call 999 sebab saya fikir ia kecemasan maka kita tak perlu lagi telefon sana sini. Pengalaman saya dalam kemalangan yang saya tolong hubungi 999.

"Operator tanya macam mana keadaan, saya kata kelindan lori tersepit sebab lori kemik. Dia kata kalau macam tu cik kena telefon bomba bagi dorang datang potong. Saya tanya bukan ke ini kecemasan? Mana saya nak tahu talian bomba kawasan berapa sebab saya lalu je kawasan itu bukan duduk situ.

"Jadi saya pelik, untuk apa sebenarnya talian 999 ni ada kalau saya telefon sekadar melaporkan kemudian, bomba ambulans saya kena hubungi sendiri," katanya.

Susulan perkara itu, inisiatif terbaharu diambil oleh Kementerian Komunikasi dan Telekom Malaysia (TM) baru-baru ini dilihat sebagai penyelesaian kepada isu berbangkit.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching pada Isnin mengumumkan sistem panggilan kecemasan baharu negara, Next Generation Emergency Services (NG999) bagi menggantikan Malaysian-Emergency Responses 999 (MERS999).

msg-468649021-52299

Kementerian Komunikasi memperkenalkan talian kecemasan baharu, NG999 menggantikan MERS999.

Jelasnya, NG999 adalah sistem digital strategik bersepadu yang akan meningkatkan perkongsian sumber dan data antara pusat panggilan kecemasan dan agensi pusat berkaitan, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan kecemasan.

"Sistem baharu ini menyepadukan peta digital berasaskan web, ID pemanggil, perkhidmatan geolokasi, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi pintar mudah alih ke dalam pengendalian insiden kecemasan yang bakal memberikan bantuan yang lebih cekap di seluruh negara," katanya.

TM dalam pada masa sama juga difahamkan akan memperkenalkan aplikasi baharu untuk NG999 yang membolehkan penggunaan teks, foto dan video untuk pengguna berdaftar.

Langkah penambahbaikan itu dijangka mampu meningkatkan mutu komunikasi antara pemanggil dengan petugas bantuan kecemasan, sekali gus mempercepat saluran perkhidmatan kepada pesakit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram