KESEMUA majikan termasuk kelab sukan khususnya bola sepak yang culas mencarum di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pihak PERKESO tidak akan teragak-agak akan mengambil tindakan tegas terhadap para majikan tersebut.
“Macam yang dimaklumkan ketika bulan Pemutihan yang tamat dua hari lepas (Isnin), majikan boleh dikenakan denda dan dibawa ke peringkat mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Penyerahan Tajaan Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di Kuala Lumpur pada Rabu.
BACA LAGI: PERKESO lanjut tempoh Bulan Pemutihan, majikan dapat peluang daftar dan carum pekerja
BACA LAGI: Kelab Liga M berisiko didenda RM10,000, penjara jika gagal carum secara teratur — PERKESO
Steven Sim menjelaskan bahawa semua majikan termasuk kelab bola sepak akan diambil tindakan sekiranya culas mencarum pekerjanya.
Steven berkata, perkara tersebut sememangnya sudah dibahaskan dalam Parlimen dan program Bulan Pemutihan pula dilaksanakan bertujuan untuk menggalakkan lagi ramai majikan mencarum di PERKESO.
Katanya, rekod dan jumlah majikan yang sudah mendaftar atau mencarum akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Terdahulu, PERKESO melanjutkan tempoh majikan untuk mendaftar dan mencarum pekerja sehingga Ahad lalu.
PERKESO sebelum ini juga pernah memberi peringatan kepada pemilik-pemilik kelab bola sepak dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk mencarum para pemainnya.
Pertubuhan itu bagaimanapun mejelaskan bahawa masih ramai pemilik kelab Liga M yang memandang enteng untuk mencarum PERKESO sehingga menyaksikan kebajikan pemain ataupun kakitangan tidak mendapat perlindungan yang sepatutnya.
Namun, berdasarkan kelayakan yang ditetapkan PERKESO, pemain yang ditimpa kemalangan di luar waktu bekerja tidak akan dibantu dengan mana-mana skim perlindungan dalam pertubuhan itu.
Bagaimanapun, Steven Sim memaklumkan bahawa pihaknya akan mengkaji semula sama ada mahu melaksanakan skim perlindungan bencana bukan bekerja itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram