PERKESO lanjut tempoh Bulan Pemutihan, majikan dapat peluang daftar dan carum pekerja


  • Primer
  • Khamis, 30 Mei 2024

Steven Sim ketika sidang media di Dewan Orkid, Wisma PKPS, Shah Alam, Selangor pada Khamis.

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) melanjutkan pelaksanaan Bulan Pemutihan dengan memanjangkan tempoh pendaftaran dan caruman pekerja di bawah inisiatif tersebut sehingga 30 Jun depan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pelanjutan selama 30 hari itu dilaksanakan susulan sambutan yang menggalakkan daripada majikan.

Katanya, PERKESO berjaya merekodkan peningkatan drastik terhadap jumlah pendaftaran dan caruman ketika pelaksanaan Bulan Pemutihan.

BACA LAGI: Enam inisiatif PERKESO pemangkin pertumbuhan pekerjaan baharu, rungkai kelompangan jaringan perlindungan sosial

BACA LAGI: 1.45 juta pekerja terima manfaat peningkatan siling gaji bulanan bagi caruman Perkeso kepada RM6,000

"Bagi tempoh dari 15 Mei iaitu pelancaran Bulan Pemutihan sehingga 26 Mei lalu, PERKESO merekodkan lonjakan pendaftaran majikan baharu sebanyak 13.7 peratus atau 5,824 majikan, berbanding tempoh sama pada bulan sebelumnya.

"Bagi pendaftaran pekerja baharu meliputi warga tempatan dan asing pula, peningkatan 21.4 peratus direkodkan meliputi 105,682 pekerja baharu yang berdaftar untuk tempoh sama," katanya dalam sidang media di Dewan Orkid, Wisma PKPS, Shah Alam, Selangor pada Khamis.

WhatsApp Image 2024-05-30 at 17.27.02

Majikan mempunyai masa sehingga 30 Jun depan untuk pendaftaran dan caruman pekerja di bawah inisiatif Bulan Pemutihan PERKESO.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran serta memastikan lebih banyak majikan mendaftar dan mencarum, Steven Sim berkata, PERKESO melaksanakan pelbagai inisiatif seperti hebahan melalui media sosial, media konvensional, media elektronik, hebahan menerusi e-mel kepada majikan berpotensi dan pelbagai lagi.

Selain itu, beliau berkata, PERKESO turut melipatgandakan usaha dengan memberi kesedaran menerusi edaran risalah semasa lawatan ke premis majikan khusus untuk Bulan Pemutihan.

Menurutnya, seramai 11,035 premis majikan dilawati untuk tahun ini berbanding 9,925 pada tahun sebelumnya bagi memastikan kesedaran dalam perlindungan pekerja.

"Justeru, inisiatif pelanjutan Bulan Pemutihan dilihat wajar bagi memberi tempoh yang lebih panjang kepada majikan untuk mendaftar pekerja mereka bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) untuk mengelakkan majikan dikenakan kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) selepas tempoh ini tamat," jelasnya.

Steven Sim berkata, mereka yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan kompaun dan pendakwaan dengan jumlah kompaun dikenakan boleh mencecah RM5,000.00 mengikut kesalahan yang dilakukan.

Ujar beliau, majikan juga akan dikenakan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) pada kadar enam peratus setahun di atas setiap hari caruman lewat dibayar, ekoran kegagalan mendaftar dan membayar caruman PERKESO, selain boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Ditanya mengenai jenis perniagaan yang didapati culas untuk membuat caruman buat pekerja, Steven Sim tidak menolak kemungkinan bahawa kebanyakan daripadanya adalah terdiri daripada perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kebanyakan mungkin terdiri daripada PKS atau mungkin perniagaan yang lebih kecil lagi.

“Dari segi kesedaran mungkin mereka rasa tak perlu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) menetapkan semua perniagaan yang berdaftar perlu melakukan caruman perlindungan PERKESO.

Beliau turut menggesa agar semua majikan mengambil kesempatan sepanjang Bulan Pemutihan untuk mula mendaftar dan melakukan caruman buat pekerja masing-masing dan seterusnya memastikan perlindungan sosial yang lebih baik.

“Caruman PERKESO ini kita tidak banyak tapi manfaatnya besar.

“Jadi kita nak pastikan pekerja tak kira industri atau syarikat apa, harus memberikan perlindungan PERKESO kepada pekerja-pekerja mereka,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram