WSSF 2025: KESUMA-ISSA rencana strategi rungkai fenomena global termasuk dana pencen dan lindung sektor gig


  • Primer
  • Rabu, 19 Jun 2024

Steven Sim berkata, forum berskala antarabangsa itu berlangsung tepat pada masanya ketika seluruh dunia termasuk Malaysia berdepan beberapa cabaran baharu berkaitan aspek keselamatan sosial.

PENGANJURAN Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 di Geneva bakal meletakkan Malaysia menjadi negara tumpuan khususnya dalam usaha pemerkasaan sosial di peringkat tempatan dan global.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, forum berskala antarabangsa itu berlangsung tepat pada masanya ketika seluruh dunia termasuk Malaysia berdepan beberapa cabaran baharu berkaitan aspek keselamatan sosial.

Menurut beliau, perkara utama perlu dirungkai adalah kesan langsung daripada pola masyarakat menua dan kelestarian dana pencen, selain merencana sistem keselamatan sosial terbaik bagi penggiat sektor gig.

BACA LAGI: Tiada pembangkang alternatif, tak mustahil PAS boleh jadi kerajaan

BACA LAGI: PKR ada kelebihan jika ikut trend, PAS perlu elemen lain pertahan Sungai Bakap

“WSSF 2025 diyakini berupaya menjadi wahana untuk seluruh dunia berkongsi strategi dan langkah ke hadapan yang sewajarnya, demi memastikan siri cabaran ini ditangani bermula dari sekarang.

“Kita tidak boleh alpa dan berlengah kerana fenomena masyarakat menua bakal memberi tempias yang amat mendalam, termasuk membabitkan unjuran semasa berkaitan kelestarian dana pencen bagi penggiat sektor gig.

“Justeru, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengadakan perbincangan dengan International Social Security Association (ISSA) untuk memastikan WSSF 2025 berupaya mencapai matlamat, selain menjadi wadah mencerminkan tekad Malaysia dalam perjuangan hak asasi manusia dan perlindungan sosial, khususnya golongan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.

photo1718781757

Steven Sim (tengah) berkata, perkara utama perlu dirungkai adalah kesan langsung daripada pola masyarakat menua dan kelestarian dana pencen, selain merencana sistem keselamatan sosial terbaik bagi penggiat sektor gig.

Pada 13 Jun lalu, Steven Sim yang dalam rangka lawatan kerja rasmi sulung ke Geneva turut mengadakan perbincangan dengan ISSA di ibu pejabatnya bagi memperhalusi beberapa agenda, terutama dalam memperkasa rencana jaringan keselamatan sosial di Malaysia dan meneliti perkembangan sektor ekonomi gig.

Perbincangan turut terarah kepada agenda di sebalik ‘Seminar Teknikal: Keselamatan Sosial untuk Pekerja Sendiri dan Pekerja Platform’ yang bakal diadakan pada 27 hingga 28 Ogos 2024, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Penganjuran seminar menerusi kerjasama antara PERKESO, ISSA dan KESUMA ini adalah pentas penting bagi merungkai rangkaian isu semasa dan merencana penyelesaian berkesan untuk melindungi pekerja dalam ekonomi gig.

Sejak ditubuhkan pada 1927 di bawah naungan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), ISSA kini mempunyai keahlian terdiri daripada 324 institusi dari 163 negara di seluruh dunia.

Menerusi rangkaian kerjasama di peringkat antarabangsa, PERKESO yang menjadi sebahagian daripada ahli institusi ISSA sejak 1974, menggarap pelbagai penambahbaikan demi memastikan kemapanan aspek jaringan keselamatan sosial di Malaysia.

Hadir sama Ketua Bahagian Strategi dan Transformasi PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang; Setiausaha Agung ISSA, Marcelo Abi-Ramia Caetano dan Pengarah Pembangunan Keselamatan Sosial ISSA, Raul Ruggia-Frick.

Dalam pada itu, Steven Sim berkata, Malaysia ketika ini giat merintis penambahbaikan menerusi pindaan akta berkaitan untuk menepati Konvensyen Keselamatan Sosial (Standard Minimum) 1952 (Konvensyen 102).

Beliau berkata, usaha sedemikian selari tekad kerajaan ke arah reformasi dasar dan institusi kepentingan awam yang menjadi antara tonggak prinsip Kerajaan MADANI.

“Dengan ratifikasi Konvensyen 102, Malaysia boleh mengukuhkan lagi perlindungan sosial dan menjamin faedah yang mencukupi bagi pekerja serta keluarga mereka,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram