Buka pintu buat bekas ahli, penganalisis canang 3 nama besar kembali ke Umno


  • Politik
  • Rabu, 03 Jul 2024

Umno kini berani mengambil langkah tersebut kerana kepimpinan parti kini dilihat sudah semakin stabil berbanding ketika tempoh beberapa tahun ketika kejatuhan pertamanya daripada pentadbiran negara selepas PRU14. — Gambar hiasan

KETERBUKAAN Umno menerima bekas ahlinya yang berhasrat mahu kembali menyertai parti itu dijangka bakal memberikan impak positif khususnya dalam memberikan nafas baharu terhadap parti berkenaan.

Penganalisis politik Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, Umno kini berani mengambil langkah tersebut kerana kepimpinan parti kini dilihat sudah semakin stabil berbanding ketika tempoh beberapa tahun ketika kejatuhan pertamanya daripada pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Sebelum ini, tindakan pemecatan, penggantungan dan pemecatan dibuat kerana Umno pada waktu itu tidak kuat dan kepimpinan pun merasa parti berada dalam keadaan goyah. Tetapi saya melihat pada ketika ini kepimpinan dan parti Umno itu sendiri sudah stabil, jadi memang sepatutnya mereka memberi peluang kepada mereka yang dipecat atau digantung untuk kembali semula," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Calon PN nafi dakwaan isu air Sungai Bakap tak pernah dibawa ke sidang DUN

BACA LAGI: Malaysia sedia kerjasama dengan Indonesia, hantar pasukan pengaman ke Palestin

Pada Selasa, Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pintu Umno tetap terbuka untuk menerima mana-mana bekas ahli yang berhasrat mahu menyertai semula parti itu

Walau bagaimanapun menurut Ahmad Zahid, kepimpinan parti akan membuat penilaian terlebih dahulu terhadap bekas ahli yang ingin berbuat sedemikian.

1821942 (1)

Penganalisis politik Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan menerima kembali bekas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengesahkan telah melepaskan keahlian dan jawatannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sejak September tahun lalu.

Dalam pada itu, Azmi turut memberikan cadangan beberapa nama bekas pemimpin Umno yang boleh dijemput kembali bagi menyertai parti itu dan memberi kekuatan baharu terhadapnya.

Antara nama disebutkan ialah bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; bekas Ketua Penerangan, Shahril Hamdan dan bekas Bendahari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Untuk rekod, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Januari 2023 mengumumkan pemecatan Khairy sebagai ahli sementara Shahril dan Hishammuddin pula digantung keahliannya.

Keputusan itu dibuat ekoran daripada tindakan mereka yang bertentangan dengan pendirian dan arahan parti khususnya ketika PRU15 lalu.

Azmi berkata, kemasukan bekas pemimpin terbabit yang dilihat mempunyai berupaya untuk memperkuatkan parti dengan mengambil kira kelebihan yang dimiliki mereka.

"Ini kerana mereka yang digantung, dipecat itu ada penyokong masing-masing dan saya melihat mereka boleh memberi nilai tambah jika mereka kembali kepada Umno. Walaupun mereka ada mengkritik, tapi yang dikritik itu adalah kepimpinan kebanyakannya.

"Mereka tidak mengkritik organisasi Umno sebagai sebuah organisasi. Jadi saya melihat mereka yang saya sebutkan tadi itu sepatutnya diberi peluang.

"Umno memerlukan nafas baharu dan mereka yang digantung, dipecat itu saya anggap sebagai nafas baharu khususnya dalam kalangan orang muda," ujarnya.

photo1719992065

Dari kiri: Khairy, Shahril dan Hishammuddin menjadi antara nama yang dicadang untuk kembali semula kepada Umno.

Pada masa sama, Azmi juga berkata, beliau tidak melihat bahawa pendirian terbaharu daripada Umno itu sebagai langkah terdesak daripada parti itu khususnya untuk menarik sokongan rakyat menjelang PRU akan datang.

Sebaliknya, beliau berpandangan bahawa kumpulan bekas pemimpin Umno yang tiada parti itu adalah lebih terdesak khususnya bagi mencari platform untuk membantu melonjakkan kerja politik masing-masing.

"Tanpa mereka-mereka yang dipecat ini, Umno akan terus berjalan ke hadapan kerana Umno ada sokongan daripada Pakatan Harapan. Jadi dalam hal ini nak dikatakan terdesak sangat itu tidak walaupun mereka yang dipecat ini ada penyokongnya tersendiri.

"Tetapi mereka tidak memberi nilai tambah sehingga boleh membawa Umno kepada situasi sebelum ini yang mana mereka menjadi kuasa dominan dalam politik negara," kata beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram