Polis siasat individu buat dakwaan fitnah TMJ terlibat rasuah RM20 juta


  • 112
  • Ahad, 30 Jun 2024

Laporan dakwaan fitnah tersebut sedang disiasat pihak polis Johor.

POLIS mengesahkan sudah menerima laporan berhubung hantaran berbaur fitnah dan tuduhan rasuah terhadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) pada Sabtu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pihaknya kini giat menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook Kelab Penyokong PAS Malaysia yang mengaitkan nama TMJ itu.

Beliau berkata, laporan polis itu dibuat terhadap hantaran media sosial terbabit di Balai Polis Penawar, Kota Tinggi, Johor pukul 4.05 petang Sabtu.

BACA LAGI: Fitnah TMJ terlibat rasuah RM20 juta cubaan jatuhkan institusi diraja — Onn Hafiz

BACA LAGI: Bantu calon Umno di PRK Nenggiri, Ku Li pernah kritik pemimpin parti berlagak, sombong

2775220

Onn Hafiz mengesahkan satu laporan polis sudah dibuat terhadap dakwaan tidak berasas tersebut.

"Pemilik itu memuat naik hantaran menyatakan TMJ terlibat dalam rasuah sebanyak RM20 juta yang membabitkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kenyataan itu ditulis 'TMJ mengatakan pengarah AMLA SPRM-Xamfi meminta rasuah RM20 juta daripada Qatar Holdings (28 Januari 2023), hantaran dengan tajuk TMJ dah bersuara, takkan PMX masih senyap?'," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kumar berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, bahagian pendakwaan/undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform tersebut dengan menyalahi undang-undang.

"Kes masih di peringkat siasatan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua keadaan, sama ada membuat hantaran, menularkan, berkongsi maklumat berbaur hasutan, fitnah atau palsu sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara," jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, fitnah tersebut adalah hasutan jahat dalam cubaan menjatuhkan institusi diraja.

Menurutnya, dakwaan fitnah yang juga tular di aplikasi WhatsApp itu merupakan sikap tidak bertanggungjawab, biadap serta kurang ajar.

Katanya, fitnah itu antara lain menuduh Tunku Ismail terbabit kes rasuah membabitkan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram