Pakar syor solusi atasi masalah beg sekolah berat


  • Massa
  • Isnin, 28 Feb 2022

PENGGUNAAN buku teks dan latihan yang terlalu banyak menyumbang kepada punca masalah beg sekolah berat. — Gambar hiasan/The Star

PERMASALAHAN berhubung beg sekolah berat dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini bukan satu benda baharu, malahan berlaku sejak 1980-an.

Walaupun dunia memasuki 2022, namun tiada solusi yang baik dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani isu berkenaan.

Menurut Pensyarah Pusat Kajian dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, KPM di dalam kajian pada 2017 mengesahkan kebenaran tentang isu tersebut dalam kalangan murid sekolah rendah.

Jelasnya lagi, satu pekeliling KPM dikeluarkan untuk panduan dan tindakan pihak sekolah, para guru, ibu bapa dan murid untuk menangani permasalahan tersebut namun saranan berkenaan gagal dilaksanakan sepenuhnya sehingga menyebabkan kemelut itu berterusan sehingga kini.

Anuar turut menyenaraikan beberapa cadangan dengan mengambil kira pandangan masyarakat khususnya ibu bapa dan para guru.

Solusi jangka pendek

(1) Pihak sekolah bersama ibu bapa boleh menyediakan loker/rak/almari/tong plastik di sekolah untuk murid Tahun 1-3 menyimpan buku teks di dalam kelas atau di dalam bilik penyimpanan.

(2) Semua murid Tahun Satu wajib ditempatkan di kelas aras tanah bangunan sekolah untuk mengelakkan kesukaran memanjat dan mengelakkan insiden terjatuh di tangga bangunan sekolah.

(3) Hadkan penggunaan buku modul, buku kerja dan buku latihan. Amalkan satu mata pelajaran satu buku latihan sahaja.

(4) Tegaskan pada ibu bapa untuk memastikan buku yang dibawa oleh anak-anak mereka di sekolah rendah semasa ke sekolah mengikut jadual waktu harian.

(5) Setiap guru memaklumkan pada para murid sekolah rendah tentang buku yang perlu dibawa untuk kelas akan datang.

(6) Sekolah rendah diberikan kuasa oleh KPM untuk menentukan sama ada buku teks perlu dibawa ke sekolah atau tidak.

Solusi jangka sederhana

(1) KPM melakukan semakan kurikulum sekolah rendah untuk mengurangkan bilangan mata pelajaran dan mengurangkan isi kandungan bagi setiap mata pelajaran.

(2) Hasilkan buku teks sekolah rendah dalam format berjilid mengikut penggal persekolahan.

(3) Tingkatkan penggunaan e-buku teks bagi sekolah rendah yang mempunyai akses Internet.

(4) Guru menggunakan paparan kristal cecair (LCD) e-buku teks semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan di dalam kelas untuk rujukan murid-murid.

Solusi jangka panjang

(1) Kajian untuk menansuhkan penggunaan buku teks di sekolah rendah. Amalkan e-buku teks sepenuhnya secara online atau offline. Kukuhkan pembelajaran sekolah rendah berteraskan aktiviti yang dirancangkan sepenuhnya oleh guru. Oleh kerana tidak ada peperiksaan berpusat seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), guru tidak lagi terikat dengan skema dan isi kandungan buku teks sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram