SUSULAN bencana banjir yang melanda Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini, penduduk mula menzahirkan rasa kecewa dan sedih atas nasib malang dihadapi setiap tahun itu.
Menyifatkan ia sebagai satu isu yang tiada penyelesaian, rata-rata penduduk mendakwa Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok sebagai punca utama kepada situasi banjir dihadapi di negeri terbabit.
Projek itu yang digelar sebagai 'benteng puaka' oleh segelintir masyarakat, dianggap sebagai perancangan yang gagal kerana telah menghalang laluan air di sekitar kawasan Rantau Panjang dan Tumpat, Kelantan.
Tanda pagar #bentengpuaka mendapat perkongsian ramai di laman media kebelakangan ini selepas penduduk mula mendesak agar ia segera dirobohkan dan diubah suai.
Seorang pengguna Facebook, Farahana Pauzie menyifatkan benteng tersebut menyusahkan banyak rakyat.
Katanya, benteng yang dibina hanya sebelah menjadikan kawasan di sebelah lagi sebagai 'kolam termenung'.
"Jangan pisahkan air banjir kita bersama," ujarnya.
Sementara itu, Zalani Muloh Pokteh pula melabelkan PLSB sebagai 'benteng puaka Rantau Panjang'," katanya.
Katanya, sifir ia amat mudah, apabila dipecahkan oleh pemuda-pemuda berani atau terpecah sendiri dipukul arus Sungai Golok maka seluruh isi Rantau Panjang akhirnya dapat menarik nafas lega kerana air surut serta-merta.
"Alhamdulillah, mereka yang sudah hampir sebulan teratak teduhan sekeluarga ditenggelami banjir, akhirnya mendapat sinar apabila benteng ini terbelah.
"Amat jelas ia satu kegagalan yang berharga RM700 juta hingga RM1.2 bilion. Ternyata lebih memudaratkan berbanding menerima manfaat," katanya.
Dalam pada itu, Ct Fatimah melalui hantarannya merayu pihak terbabit supaya benteng yang pecah dibiarkan dan tidak diperbaiki.
Katanya, semenjak pembinaan projek tersebut dia perlu menghadapi banjir tiga hingga empat kali setahun.
"Kami bukan ikan yang boleh hidup dalam air. Kami ini manusia yang ada perasaan.
"Kami perlu kerja, cari rezeki. Kami reda dengan musibah banjir ini tapi kita semua pun tahu punca air tidak boleh keluar sebab benteng. Lepas ini jangan sesiapa tutup benteng itu, biarkan begitu sehingga fasa yang lain siap dahulu.
"Kami tak marah cuma nasihat demi kebaikan," katanya di laman Facebook.
Terdahulu, Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marinamarican Abdullah berkata, benteng pecah tersebut berlaku akibat arus deras dan telah mengakibatkan kemusnahan sepanjang kira-kira 50 meter.
Katanya, pihak JPS mengesahkan perkara itu namun belum dapat ke lokasi kerana keadaan berbahaya.
"Kami menerima maklumat benteng PLSB pecah pagi semalam.
"Dianggarkan benteng pecah sepanjang 50 meter, namun belum dapat dipastikan kerana kami tidak dapat pergi ke kawasan tersebut akibat arus deras," katanya menerusi laporan media pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram