MENTERI Besar Pahang memfailkan afidavit, menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak, untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan perintah tambahan supaya bekas perdana menteri itu, menjalani baki enam tahun penjara di bawah tahanan di rumah.
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengikrarkan perkara itu menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co, di Mahkamah Tinggi, pada Selasa lalu.
Najib, 70, memfailkan permohonan kebenaran tersebut bagi semakan berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 April melalui firma guaman yang sama.
BACA LAGI : Permohonan Tengku Zafrul fail afidavit betulkan fakta berkait pengampunan Najib ditolak mahkamah
BACA LAGI : Perbicaraan Najib cipta sejarah julung kali diadakan pada hujung minggu
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa terdapat perintah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam pengampunan diraja yang diberikan kepadanya pada 29 Januari yang mana dalam tambahan itu, baginda dibenarkan menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Najib selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Dalam notis permohonan itu juga, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari 2024.
Pemohon juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta-merta dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram