Suhakam, jangan lupa statistik jenayah golongan pelarian — MP Jelebu


  • Primer
  • Isnin, 01 Jul 2024

Sebahagian pelarian berasakan kad UNHCR yang dimiliki menjadikan mereka kebal daripada dikenakan sebarang tindakan. — Gambar hiasan

SEORANG Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan mengesyorkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) supaya memasukkan statistik jenayah melibatkan kumpulan pelarian di dalam laporannya di samping kes melibatkan penindasan dihadapi kumpulan berkenaan.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, meskipun beliau tidak menafikan perjuangan Suhakam dalam membela pelarian di dalam negara, isu melibatkan keselamatan rakyat Malaysia juga tidak seharusnya diambil mudah.

"Suhakam sering memandang penting tentang aspek bagaimana pelarian ini dilayan sewaktu berada dalam tahanan sama ada pihak Imigresen ataupun PDRM, dan pelbagai lagi isu-isu lain.

"Tapi bagaimana pula dengan hak rakyat Malaysia yang terganggu dengan kehadiran pelarian ini di sekeliling kita? Bagaimana pula dengan soal ketenteraman awam dan keselamatan yang terancam di sesetengah kawasan yang mempunyai ramai pelarian?

"Berapa banyak pasar-pasar borong dan rumah-rumah kedai yang sudah dimonopoli oleh golongan pelarian ini? soalnya.

BACA LAGI: Sijil ISO, siap Ketua Menteri mohon maaf, 3 isu hangatkan kempen PRK Sungai Bakap

BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan

Jalaluddin berkata demikian ketika membahaskan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam bagi Tahun 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata, daripada 185,920 jumlah pelarian yang berdaftar pada 2022, 105,710 adalah pelarian etnik Rohingya iaitu meliputi hampir 57 peratus daripada jumlah keseluruhan pelarian di dalam negara.

2714346

Jalaluddin mendakwa sebahagian pelarian merasakan kad UNHCR yang dimiliki menjadikan mereka kebal daripada dikenakan sebarang tindakan. — Gambar hiasan

"Saya tidaklah hendak pukul rata mengatakan semua warga Rohingya ini bermasalah, tapi kita semua sedia maklum, terlalu banyak kes yang melibatkan etnik ini, tidak kiralah kes pergaduhan, berniaga secara haram, kes kecurian, gangguan seksual dan sebagainya," ujarnya sambil turut menyatakan empat kes jenayah melibatkan kumpulan pelarian etnik Rohingya untuk tempoh November 2023 hingga Mac lalu.

Jalaluddin berkata, isu melibatkan pelarian itu jika kita biarkan berterusan dan tidak diuruskan dengan sebaiknya berpotensi menjadi bom jangka kepada Malaysia pada masa akan datang.

Pada waktu ini, beliau mendakwa, sebahagian pelarian berasakan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) yang dimiliki menjadikan mereka kebal daripada dikenakan sebarang tindakan.

Situasi itu menurut beliau menyebabkan mereka didakwa tidak teragak-agak untuk melakukan apa sahaja walaupun ianya melanggar undang-undang Malaysia.

WhatsApp Image 2024-07-01 at 17.51.56

Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Justeru Jalaluddin mahu satu dasar yang jelas dan penyelesaian tuntas perlu dirangka oleh pihak Kerajaan untuk mengurus pelarian dan pencari suaka ini.

"Kita tidak mahu sampai satu tahap, Malaysia akan mendapat jolokan negara pelarian, bila mana jumlah pelarian yang ada di negara kita menyamai dengan etnik-etnik minoriti yang ada," katanya.

Beliau juga berpandangan, Kerajaan perlu melihat semula ruang dan bentuk kebebasan yang kita berikan kepada UNHCR ini dalam soal mengurus tadbir pelarian di Malaysia.

"Ketika ini, Malaysia bukanlah penandatangan dan sebahagian daripada negara yang meratifikasi Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967.

"Adakah terdapat sebarang perancangan daripada pihak Kerajaan untuk meratifikasi dan menandatangani kedua-dua konvensyen ini pada masa akan datang?

"Dan sejauh manakah masalah pelarian di Malaysia ini akan dapat diselesaikan jika kita meratifikasi mana-mana konvensyen berkaitan dengan pelarian?," soalnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram