[VIDEO] Tidak sampai sebulan DBKL gempur ibu kota, penjaja warga asing masih bermaharajalela


  • Massa
  • Khamis, 30 Mei 2024

Warga asing masih berani berniaga seperti biasa di sekitar kaki lima Jalan Silang, Lebuh Pudu dan Jalan Petaling.

OPERASI demi operasi dilaksanakan, kompaun demi kompaun dikeluarkan, namun masih belum berjaya menyelesaikan isu lambakan penjaja warga asing khususnya di ibu kota.

Bukanlah hendak menidakkan kebertanggungjawaban pihak penguat kuasa dalam mengawal pergerakan peniaga ini, kerana jawapannya sudah pasti boleh dilihat menerusi segala operasi dan gerak gempur yang dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) saban hari.

Mengambil contoh kejadian baru-baru ini, tular video memaparkan sekumpulan lelaki warga asing menjalankan perniagaan menjual makanan sirih berapi di sekitar ibu kota.

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan Dhaka, warga Bangladesh selamba meniaga sirih tepi jalan siap pasak khemah di 2 lokasi panas di Lembah Klang

BACA LAGI: [VIDEO] 'Macam negara dia', warga Bangladesh selamba buka 'pasar lambak' jual makanan tradisi di Meru

Untuk makluman, sirih berapi merupakan salah satu makanan jalanan yang terkenal di India.

Bertindak atas video tersebut, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 12 Mei lalu menggempur aktiviti perniagaan haram warga asing di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin (Jalan Silang) dan Lebuh Pudu, Kuala Lumpur.

Pasukan penguat kuasa DBKL menyita barangan dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap tujuh penjaja warga asing yang dikesan menjual sirih, makanan dan pakaian terpakai tanpa kebenaran pihak berkuasa.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan diambil selaras dengan peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.

Semua barangan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tujuan dokumentasi dan rekod.

Respons pantas DBKL berhubung isu berkenaan harus dipuji, namun adakah operasi gerak gempur itu menimbulkan ketakutan terhadap peniaga warga asing ini?

Hasil tinjauan Majoriti di sekitar kaki lima Jalan Silang, Lebuh Pudu dan Jalan Petaling pada Khamis mendapati warga asing masih berani berniaga seperti biasa, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Belum sampai sebulan pun tindakan penguatkuasaan diambil, aktiviti perniagaan mereka kembali 'rancak' berjalan.

Degil dan tidak serik! Mungkin itu gambaran tepat yang sesuai diberikan buat mereka.

Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan warga asing yang membuka tapak di situ berasal dari Bangladesh, Nepal, Indonesia dan Rohingya.

WhatsApp Image 2024-05-30 at 20.01.15

DBKL pada 12 Mei lalu menggempur aktiviti perniagaan haram warga asing di sekitar Jalan Silang dan Lebuh Pudu. — DBKL

Bahu jalan itu masih sahaja dipenuhi peniaga yang menjual sirih, buah-buahan, kerepek dan pakaian terpakai.

Dengan kesan ludahan kapur sirih bertebaran di atas lantai, ditambah sampah sarap di sekeliling mereka telah merencatkan pemandangan di kota raya.

Bagaimanapun di sebalik situasi itu, timbul persoalan sama ada golongan itu sememangnya sudah terlalu ramai hingga sukar dikawal gerak-geri mereka.

Atau adakah penguatkuasaan negara sudah mulai 'dibaca' hingga pada akhirnya undang-undang kita seolah-olah boleh 'dilanggar' begitu sahaja? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram