Mohd Azizi harap diberi peluang bertanding PRK Parlimen Gua Musang, bakal jumpa kepimpinan PH-BN


  • Politik
  • Isnin, 01 Jul 2024

Mohd Azizi ketika sidang media di Parlimen pada Isnin.

MOHD Azizi Abu Naim berharap gabungan Kerajaan Perpaduan memberi peluang kepadanya untuk mempertahankan kerusi parlimen Gua Musang sekiranya pilihan raya kecil diadakan bagi kawasan itu.

Mohd Azizi berkata, beliau sudah melakukan kerja lapangan di kawasan terbabit sejak wabak Covid-19 pada 2020.

“Saya meletakkan asas sejak 2020 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kenapa saya perlu menyerahkan kerusi itu kepada orang lain jika ada pilihan raya kecil?

“Saya akan gunakan alasan ini untuk berjumpa dengan pimpinan Pakatan Harapan/Barisan Nasional bagi menggesa mereka memberi peluang kepada saya bertanding semula,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Isnin.

BACA LAGI: Sijil ISO, siap Ketua Menteri mohon maaf, 3 isu hangatkan kempen PRK Sungai Bakap

BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan

Mohd Azizi mendakwa Perikatan Nasional (PN) tidak menyangka akan memenangi kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 memandangkan ahli Parlimen veteran, Tengku Razaleigh Hamzah telah memegang kerusi itu selama beberapa penggal.

"Saya tidak diberi sebarang sumber (oleh PN untuk bertanding) tetapi kami masih cekal selama dua tahun untuk menjalankan aktiviti menarik minat pengundi muda," katanya.

Mohd Azizi berkata, beliau menyokong kerajaan hari ini dan akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan calon yang akan bertanding.

KUALA LUMPUR, 6 Jun -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul ketika Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.
--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Speaker Parlimen, Tan Sri Johari Abdul

Pada Jun lalu, Mohd Azizi yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Nenggiri, membawa Speaker DUN Kelantan ke mahkamah kerana mengisytiharkan kerusi DUN yang disandangnya sebagai kosong.

DUN Kelantan sebelum itu menerima notis di bawah Fasal (3) Perkara 31A perlembagaan Kelantan daripada Mohd Azizi pada 13 Jun dan notis Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyatakan Mohd Azizi bukan lagi ahli parti.

Mohd Azizi merupakan antara enam Ahli Parlimen BERSATU, dan seorang ADUN Selangor, yang keahliannya terhenti mereka gagal menjawab surat meminta berikrar taat setia kepada parti.

Sementara itu, Mohd Azizi berkata, beliau tidak akan mempertahankan kerusi DUN Nenggiri dan sebaliknya akan membantu calon Kerajaan Perpaduan.

“Saya akan melakukan yang terbaik dan memanfaatkan pengalaman saya untuk membantu calon yang dipilih pucuk pimpinan,” katanya.

Beliau juga berkata, enam ahli Parlimen terbabit telah menghantar surat yang mengandungi 20 perkara kepada pejabat Speaker pada 27 Jun lalu yang menyatakan bahawa enam orang itu telah dianiaya selepas pucuk pimpinan parti memutuskan untuk melucutkan keahlian masing-masing.

Beliau juga berkata, kandungan surat itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Pada 24 Jun lalu, Speaker Parlimen, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan menerima notis daripada BERSATU yang mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen iaitu Labuan, Gua Musang, Jeli, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Bukit Gantang.

Johari berkata beliau memerlukan tempoh 21 hari untuk menyemak notis itu. — The Star/TARRENCE TAN/RAGANANTHINI VETHASALAM/TEH ATHIRA YUSOF

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram