Aura Ku Li mampu bantu BN tawan DUN Nenggiri — Penganalisis


  • Politik
  • Ahad, 30 Jun 2024

Percaturan Umno melantik Ku Li (gambar kecil) sebagai Pengarah PRK DUN Nenggiri pada 18 Ogos depan disifatkan satu langkah bijak.

PERCATURAN Umno melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan, pada 17 Ogos depan disifatkan satu langkah bijak.

Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Rusdi Omar berkata, Tengku Razaleigh atau lebih mesra dipanggil Ku Li adalah seorang figura politik yang dihormati di negeri Cik Siti Wan Kembang walaupun pandangan politiknya berbeza.

"Ia adalah satu langkah bijak dan pemilihan itu sangat tepat kerana beliau merupakan ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat di Gua Musang, Kelantan.

BACA LAGI: Tak perlu lagi demonstrasi jalanan, cukup sekadar 'pangkah' parti

BACA LAGI: 'Lebih baik letak calon PAS bagi pastikan kemenangan PRK DUN Nenggiri'

"Selain itu, beliau (Ku Li) adalah 'orang lama' dan tahu permainan politik di sana," katanya kepada Majoriti.

Rusdi juga berpandangan, Ku Li merupakan susuk yang paling sesuai dilantik untuk menggalas tanggungjawab itu berbanding ahli Umno yang lain.

"Kita mahu seorang yang dikenali di kawasan tersebut, yang berkarisma, berpengalaman dan tokoh politik yang dikenali oleh rakyat Gua Musang. Harus saya ingatkan, masyarakat di Gua Musang ini juga berbeza dengan masyarakat di tempat-tempat lain di Kelantan.

"Bagi masyarakat Gua Musang mahupun Nenggiri, mereka masih melihat Ku Li sebagai 'ketua' walaupun beliau tidak lagi menyandang tugas sebagai wakil rakyat.

"Tambahan pula, beliau merupakan kerabat diraja yang mana rakyat Kelantan sangat dekat dengan institusi istana," katanya.

YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad and YB Tengku Razaleigh Hamzah held a Joint Media Conference—SHAARI CHEMAT/The Star

Ku Li adalah wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini, iaitu selama 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri.

Menurut Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu lagi, tidak kisah siapa pun calon yang diletakkan sewaktu PRK Nenggiri itu nanti, aura Ku Li sendiri pastinya dapat membantu.

Sehubungan itu, katanya, pengaruh Ku Li sangat diperlukan dalam PRK Nenggiri dan peluang untuk Barisan Nasional (BN) menang cerah sekiranya wujud kerjasama yang jitu dan padu bersama Pakatan Harapan (PH) nanti.

"Sesiapa sahaja dalam politik tahu, veteran Umno itu adalah wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini, iaitu selama 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri.

"Beliau tewas kepada pesaingnya Mohd Azizi Abu Naim daripada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun ia tidaklah bermakna beliau turut kehilangan kepercayaan rakyat di sana.

"Seperti yang saya katakan tadi, Ku Li masih relevan dan mampu membantu BN untuk menang," ujarnya.

2764054

Profesor Madya Dr Rusdi Omar

Pada Sabtu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk berdepan PRK berkenaan, Ku Li dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PRK Nenggiri manakala Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai dilantik sebagai pengarah operasi PRK berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu, menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan BERSATU mengenai keahlian bekas Adun Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu.

Pada Khamis, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi sementara bekas, Mohd Azizi Abu Naim untuk menghentikan PRK DUN kawasan itu atas alasan beliau masih penyandang yang sah.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain selepas memutuskan bahawa Mohd Azizi tidak berdepan kemudaratan sekiranya PRK itu dijalankan kerana beliau masih boleh menyertai pilihan raya berkenaan.

SPR pada Jumaat menetapkan PRK DUN Nenggiri diadakan pada 17 Ogos depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram