Bantu calon Umno di PRK Nenggiri, Ku Li pernah kritik pemimpin parti berlagak, sombong


  • Politik
  • Ahad, 30 Jun 2024

Kekalahan Umno dalam PRK14 pernah dianggap berpunca daripada sifat pemimpinnya yang sombong dan angkuh. — Gambar hiasan/The Star

PELUANG Umno Kelantan untuk merebut takhta di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kembali dilihat semakin cerah apabila berlakunya kekosongan, baru-baru ini.

Ia susulan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lepas.

Mohd Azizi gugur keahlian Bersatu dan kerusi DUN berkenaan diumumkan kosong pada 19 Jun lepas oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

BACA LAGI: Inilah masanya, Umno berpeluang rampas semula DUN Nenggiri

BACA LAGI: Tiada pembangkang alternatif, tak mustahil PAS boleh jadi kerajaan

Ahmad Zahid Hamidi. — The Star

Sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, DUN Nenggiri merupakan kawasan dikuasai Umno selama empat penggal berturut-turut sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Susulan itu, Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa pihaknya akan meletakkan calon untuk bertanding dalam PRK Nenggiri pada 17 Ogos dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos.

Dengan pengumuman itu juga, bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pada Sabtu (29 Jun 2024) dilantik sebagai pengarah bagi PRK DUN Nenggiri.

Ramai melihat pelantikan itu ada kena mengena dengan latar belakang Tengku Razaleigh atau Ku Li yang pernah menyandang kerusi Parlimen Gua Musang selama 12 penggal, menjadikan beliau sebagai wakil rakyat paling lama berkhidmat di peringkat Parlimen dan negeri.

Justeru, dengan kembalinya veteran Umno itu di Gua Musang, ia mungkin dapat melunaskan sesuatu apabila beliau sebelum ini tewas kepada pesaingnya iaitu Mohd. Azizi sendiri.

Lalu dengan Ku Li mengepalai jentera Umno di PRK DUN Nenggiri, ramai mula memberi tumpuan andai veteran Umno itu mampu melakukan sesuatu di kerusi DUN terbabit.

Manakan tidak, Ku Li yang juga Penasihat Umno sebelum ini lantang memberi

pandangan mengenai kekalahan teruk parti itu pada PRU14 pada 9 Mei 2018.

msg1050426791-34498

Tengku Razaleigh Hamzah. — The Star

Ironinya, pada tarikh lantikan beliau sebagai Pengarah PRK DUN Nenggiri, Ku Li pada 29 Jun 2018 pernah menyatakan bahawa sifat berlagak dan sombong para pemimpin Umno antara punca utama kekalahan parti itu dalam PRU14.

Ku Li yang sekarang menyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Gua Musang ketika itu percaya bahawa sikap pemimpin Umno yang hanya sanggup turun padang ketika berkempen tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab selepas dipilih membangkitkan kemarahan rakyat.

"Ada antara pemimpin kita yang berlagak sombong, ekstremis serta seolah-olah macam elitis, tidak mahu bergaul, bercampur orang ramai dan rakyat susah untuk berjumpa mereka.

"Masa nak undi, sanggup turun ke bawah tetapi selepas dipilih, bergaya hidupnya, menunjuk-nunjuk ada harta lebih daripada biasa. Apa semua ini? Disebabkan ini, mereka marah kepada kita (Umno)," katanya pada program Debat Calon Presiden Umno.

Pada masa sama, Ku Li turut menggesa pemimpin Umno untuk lebih memahami makna politik wang yang dianggap sudah menjadi budaya dalam parti itu.

Tujuh tahun sudah berlalu, posisi Ku Li pada hari ini diharap dapat membantu Umno mendapatkan semula kawasan yang pernah dikuasai parti itu suatu ketika suatu masa dahulu.

Bersama Ku Li, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dan Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan dilantik sebagai pengarah operasi PRK berkenaan.

Sama-sama kita lihat andai kombinasi kedua-dua figura politik itu dapat memberi kemenangan kepada Umno dan Barisan Nasional demi Kerajaan Perpaduan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram