Kerajaan belum buat keputusan rasionalisasi subsidi petrol — PM Anwar


  • Primer
  • Sabtu, 29 Jun 2024

Anwar menegaskan rakyat yang terjejas dengan penyasaran subsidi diesel boleh membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan.

KERAJAAN masih belum membuat sebarang keputusan untuk merasionalisasikan subsidi petrol RON90, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini lebih menjurus kepada soal subsidi bersasar diesel yang perlu diteliti kerajaan tentang pelaksanaannya.

Tambah beliau, sekiranya ada dalam kalangan rakyat yang berasa terjejas, mereka boleh mengemukakan permohonan rayuan untuk bantuan subsidi.

BACA LAGI: Jualan diesel turun mendadak bukti subsidi diseleweng — Fuziah

BACA LAGI: Kerajaan teliti keperluan rasionalisasi subsidi petrol RON95

The government set the price of diesel in the peninsula at RM3.35 per litre starting June 10.—ONG SOON HIN/The Star Reporter

Kerajaan sebelum ini mengambil keputusan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel.

"Saya baca teks Rafizi, dia kata kita tumpu soal diesel yang perlu kita teliti sama ada pelaksanaan berkesan dan jika kalau ada dalam kalangan rasa terjejas harus kemukakan.

"Saya tengok (dalam) konteks itu yang dia tekankan dan yang lain-lain belum ada apa-apa keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Menara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pulau Pinang pada Sabtu.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Rafizi ketika diwawancara Bloomberg semasa menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Dalian China pada Khamis yang berseloroh mengenai 'kejutan petrol' selepas pemansuhan subsidi pukal diesel.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan akan mengadakan perbincangan mengenainya.

"Nenggiri tu biar mereka bincanglah," katanya ringkas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri di Kelantan diadakan pada 17 Ogos dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos, manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos.

Ia susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim, diisytiharkan hilang keahlian BERSATU pada 13 Jun selepas menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram